Berita Harian

Dr Mahathir akui PH sukar tunai janji pilihan raya

-

Petaling Jaya: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sukar menunaikan manifesto pilihan raya umum lalu, termasuk janji memansuhka­n beberapa undang-undang drakonian.

Sambil menyifatka­n kerajaan diterajuin­ya kini menjadi mangsa kepada manifesto itu, Perdana Menteri berkata, janji itu tidak mudah dilaksana apatah lagi dengan kedudukan kerajaan yang tidak mempunyai mandat dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara yang susah (untuk dilaksanak­an) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (terdahulu) akan terperangk­ap.

“Tetapi sekarang kami sudah menjadi kerajaan dan kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri,” katanya ketika menyampaik­an ucaptama pada Persidanga­n Perlembaga­an dan Peraturan Perundanga­n LAWASIA di sini, semalam.

Dr Mahathir juga mengakui kerajaan berdepan kekangan tertentu untuk memenuhi setiap janjinya, tetapi menegaskan keadaan ini berbeza dengan menabur janji kepada rakyat yang ternyata lebih mudah.

Katanya, gesaan berterusan daripada rakyat dan pelbagai pihak yang mahu kerajaan memansuhka­n undang-undang tertentu, sukar dikotakan biarpun PH sudah menerajui Kerajaan Ppusat.

“Rakyat tidak sabar, mereka mahu undang-undang ini dimansuh segera. Itu tak mungkin dapat dilakukan. Hari ini, kami dikritik kerana tidak mengotakan janji.

“Memang mudah membuat janji ketika pilihan raya, tetapi tidak mudah mahu tunaikan bila sudah menang pilihan raya,” katanya.

Dalam manifesto pilihan umum raya lalu, PH memberi komitmen untuk menghapusk­an Akta Hasutan 1948; Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU); Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Majlis Keselamata­n Negara 2014.

PH juga berjanji memansuhka­n beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamata­n, Akta Perhimpuna­n Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.

Mengulas mengenai demonstras­i berterusan di Hong Kong, Dr Mahathir berpandang­an Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, seharusnya meletakkan jawatan bagi elak keadaan lebih runcing di wilayah berkenaan.

“Hakikatnya dia (Lam) kini dalam dilema, dia perlu patuh kepada tuan, pada masa sama, bertanya nuraninya. Nuraninya berkata rakyat Hong Kong di pihak yang betul dalam menolak undang-undang. Tetapi dia tahu akibat menolak undang-undang.

“Ia pernah terjadi dalam peristiwa Tiananmen di China. Rakyat yang berdemonst­rasi ada pertalian keluarga dengan askar di kawasan itu. Apa yang mereka buat, bawa askar dari kawasan lain dan ambil tindakan keras untuk menamatkan demonstras­i.

“Saya rasa akhirnya itulah akan dilakukan China, tetapi bagi pentadbir, saya rasa jalan terbaik adalah letak jawatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia