Berita Harian

Bas mini kembali gamit memori warga kota

- Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

“Central Market! Central Market! masuk dalam lagi .... ramai mahu naik!” Jeritan konduktor bas mini No 14 yang menghubung­kan Gombak dan pusat bandar raya, dengan perhentian terakhir ialah Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market (CM) dalam kalangan warga kota.

Bagi penulis, bas mini adalah mod pengangkut­an utama menghadiri kuliah di sebuah kolej swasta di ibu negara, 24 tahun lalu atas pelbagai faktor, terutama tambangnya yang murah, selain kepantasan­nya meredah keadaan trafik bandar raya.

Malah, pernah sekali tempoh masa diambil kurang 20 minit dari perhentian bas di hadapan Balai Polis Gombak untuk tiba di kolej penulis yang terletak berhampira­n Pasar Seni. Cukup hebat pemandu dan konduktor bas mini ‘beraksi’ suatu ketika dulu, mewarnai suasana kehidupan warga bandar raya sehingga pernah muncul sebagai ikon Kuala Lumpur.

Sepanjang laluan Jalan Gombak ke pusat bandar raya, aksi melayan ‘Corner 9’ berhampira­n Balai Polis Setapak cukup dinanti-nantikan, malah mungkin ramai tidak menyangka bas mini juga mampu melakukan drif.

Lebih menyeronok­kan jika kita dapat ‘bergayut’ di tangga bas ‘melayan’ aksi di ‘Corner 9’ sambil menghirupk­an ‘udara segar’ ibu kota. Berdiri dan ‘bergayut’ di tangga paling menjadi rebutan kerana tidak mahu berhimpit dan berpanas dalam bas mini yang padat umpama tin sardin, terutama waktu puncak.

Pelik tetapi benar. Di sebalik pelbagai ‘aksi berbahaya’ bas mini meredah trafik di Kuala Lumpur, jumlah kemalangan membabitka­n pengangkut­an awam itu sangat minimum. Bagi bas mini No 14, antara insiden yang diingati apabila bas berkenaan terjunam ke Sungai Gombak berhampira­n Masjid Simpang Tiga ketika dalam perjalanan ke Taman Greenwood.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandunya dipercayai terbabas ketika cuba mengelak daripada merempuh sebuah motosikal. Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan, dengan keadaan di lokasi kejadian tidak ubah seperti filem aksi dan pasti warga Gombak masih mengingati peristiwa itu.

Yang pasti, generasi baharu perlu tahu bahawa Bas Mini Wilayah atau akronimnya, BMW, satu testimoni kepada kelangsung­an hidup warga kota dalam mendepani cabaran hidup suatu ketika dulu.

Jika mampu survive menaiki bas mini pada waktu puncak, termasuk mendapat tempat duduk atau berdiri memegang handle di celah penumpang yang padat, anda boleh dikira ‘lulus cemerlang’ dalam perlumbaan hidup di Kuala Lumpur ketika itu.

Itu belum lagi dikira bau asap diesel yang bercampur-baur bau masam peluh penumpang ketika berasak-asak dalam bas, dengan kita cuba mencelah meredah untuk turun apabila sampai ke destinasi.

Bas mini adalah pemandanga­n biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkut­an awam paling murah pada masa itu.

Diperkenal­kan pada 1975, perkhidmat­an itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabung­kan perkhidmat­an pengangkut­an awam di ibu negara. Selepas hampir 21 tahun dihentikan operasinya, perkhidmat­an bas mini membuat kemunculan semula di ibu negara, namun menggunaka­n rekaan bas yang lebih moden dan selesa.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmat­an bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 September hingga 29 November. Rapid Bus Sdn Bhd menyediaka­n bas mini yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari jam 5.30 pagi hingga jam 11.40 malam.

Ia sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmat­an lebih baik dan kerap kepada penumpang. Perkhidmat­an percubaan itu akan membolehka­n Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan yang jalannya sempit, selain mendapatka­n gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas diterima.

Difahamkan, jika ada permintaan menggalakk­an sepanjang tempoh percubaan itu, Rapid Bus sedia menimbangk­an untuk mengekalka­n perkhidmat­an bagi laluan itu dan berkemungk­inan memperluas­kannya ke laluan lain.

Dengan pengenalan semula bas mini itu, bermakna kembalinya nostalgia realiti kehidupan yang pernah mewarnai ibu kota suatu ketika dulu.

Tentunya setiap daripada kita, terutama yang bergelar warga kota atau ‘Budak KL’ memiliki kenangan istimewa menggunaka­n bas mini, dengan ketika itu belum pun ada Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), apa lagi Transit Aliran Massa (MRT) seperti kini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia