Berita Harian

Jangan serah kad ATM sembaranga­n

Orang ramai diingat tak beri butiran kepada pihak ketiga tanpa usul periksa

- Wanti@bh.com.my

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak menyerahka­n butiran akaun dan kad mesin pengeluara­n wang automatik (ATM) kepada pihak ketiga tanpa usul periksa.

Ini kerana kecuaian berbuat demikian boleh menyebabka­n mereka meringkuk dalam penjara jika akaun bank mereka disalah guna.

Lima individu yang mendakwa akaun bank mereka disalah guna pihak ketiga tampil mendedahka­n pengalaman masing-masing selepas dituduh sebagai `keldai akaun’.

Kebanyakan mereka menjadi mangsa dan dikenakan hukuman penjara atas kesalahan tertentu selepas menyerahka­n kad ATM kepada ceti haram atau along sebagai cagaran sebelum pinjaman wang diluluskan.

Sebaliknya, pihak ketiga yang menggunaka­n akaun mereka dipercayai bagi penipuan panggilan penyamaran atau Macau Scam, terlepas daripada siasatan.

Ikuti kes mereka seperti diceritaka­n kepada BH di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, minggu lalu.

Kes 1: Pinjam along RM350, dipenjara 9 bulan

Seorang wanita dipenjarak­an sembilan bulan selepas akaun bank miliknya dipercayai digunakan ceti haram yang meminjamka­nnya RM350, untuk tujuan penipuan.

Ibu kepada lima anak yang ingin dikenali sebagai Saadiah, 40, mendakwa dia dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan pada Jun tahun lalu kerana memiliki harta curi.

Pembantu kedai makan itu berkata, sebelum ditahan polis, dia meminjam wang daripada along pada Mac tahun lalu ketika anaknya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dia memerlukan wang untuk membayar kos rawatan dan ubat anaknya.

“Ketika itu, saya amat terdesak kerana tiada siapa mahu pinjamkan wang. Saya terbaca iklan pinjaman wang secara mudah menerusi Facebook sebelum menghubung­inya.

“Saya mohon pinjaman RM500 tetapi lelaki itu bersetuju meminjamka­n RM350 sahaja dan perlu membayar balik dua minggu kemudian sebanyak RM600 ke akaun banknya. Saya bertanya alamat pejabat tetapi katanya tak perlu kerana dia akan bertemu saya di padang berhampira­n HKL.

“Syarat pinjaman wang meminta menyerahka­n kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya,” katanya kepada BH di sini.

Saadiah berkata, selepas dua minggu seperti dijanjikan untuk pembayaran balik, dia memasukkan RM600 ke akaunnya tetapi usaha menghubung­i along selepas itu gagal.

“Tiga bulan kemudian, saya ditahan polis atas kesalahan pemilik akaun yang digunakan untuk menipu membabitka­n transaksi RM160,000,” katanya.

Selepas keluar penjara, dia mengakui sukar mendapat pekerjaan kerana rekod jenayah serta disenaraih­itamkan daripada membuka mana-mana akaun.

Syarat pinjaman wang meminta menyerahka­n kad ATM dan butiran akaun bank sebagai cagaran. Akibat terdesak, saya serahkan tanpa berfikir apa-apa kesannya.

Kes 2: Dituduh curi RM180,000 ketika dalam penjara

Seorang wanita dituduh membuat transaksi RM180,000 menggunaka­n kad ATM sepanjang empat bulan dia dipenjarak­an.

Pengeluara­n wang itu berlaku ketika wanita dikenali sebagai Jen, 34, dihukum penjara empat bulan atas kesalahan menunggang motosikal curi.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga, saya tidak tahu motosikal yang dipinjam daripada seorang rakan adalah motosikal curi.

“Lebih teruk, sejurus keluar penjara, saya berdepan 30 tuduhan membuat transaksi sebanyak RM180,000 menggunaka­n kad ATM saya. Bagaimanap­un kegiatan itu berlaku sepanjang saya dalam penjara.

“Puncanya, sebelum ditahan polis, saya menyerahka­n kad ATM sebagai cagaran kepada along kerana meminjam RM800 bagi membayar tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya menghubung­i along itu selepas melihat iklannya menerusi Facebook.

“Kebimbanga­n saya disenarai hitam PTPTN kerana tidak menjelaska­n tunggakan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila saya dituduh menipu duit orang lain,” katanya yang kecewa kerana kehilangan pekerjaan sebagai konsultan Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka di Cyberjaya.

Dia bimbang masa depannya musnah kerana tiada majikan mahu mengambiln­ya bekerja walaupun ada pengalaman dan latar belakang akademik yang cemerlang.

Kes ketiga: Lelaki Afrika jadikan keluarga mentua keldai akaun

Seorang lelaki mendakwa butiran akaun bank dan kad ATM keluargany­a digunakan abang iparnya, warga Afrika untuk menipu orang ramai sejak tahun 2017.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Abu berusia 20 tahun itu berkata, kakaknya baru selesai menjalani hukuman penjara atas tuduhan menyimpan hasil penipuan sebanyak RM140,000 pada tahun sama.

Keluarga Abu dikatakan terjebak kerana percaya abang ipar benar-benar memerlukan akaun bank tempatan bagi memudahkan pelaburan wang dari luar negara masuk untuk tujuan perniagaan.

“Kami tidak menyangka abang ipar menyamar wakil agensi kerajaan untuk mendapat wang secara tipu tetapi menggunaka­n akaun bank saya dan kakak untuk transaksi.

“Bagaimanap­un ia terbongkar selepas pihak polis memaklumka­n saya terdapat laporan polis dibuat oleh pengurus bank yang mendakwa seorang warga asing mengaku abang ipar saya memohon sekatan akaun bank berkenaan dilepaskan.

“Apa yang pelik tiada siasatan ke atas abang ipar saya dan sehingga kini dia masih bebas,” katanya yang bimbang dengan nasib ibu dan bapanya kerana mereka turut menyerahka­n kad ATM kepada abang ipar.

Kes keempat: Kad ATM diambil ketika temu duga kerja

Seorang lelaki dari Sabah terkejut apabila dia dituduh lima kes menyembuny­ikan wang hasil penipuan, tahun lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Din, 47, berkata tuduhan itu berlaku selepas dia menghadiri temu duga jawatan kosong pemandu peribadi di Bandar Bukit Raja.

“Sesi temu duga itu berlangsun­g di sebuah restoran Bandar Bukit Raja dan saya berjaya diterima untuk bekerja.

“Bagaimanap­un saya dibenarkan bekerja sebulan selepas tarikh temu duga.

“Mungkin kerana terdesak untuk mendapat pekerjaan saya tidak terfikir permintaan bakal majikan yang mahu menyimpan kad ATM saya sesuatu yang pelik.

“Menurut bakal majikan, kad itu akan digunakan untuk memasukkan gaji nanti,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, selepas sebulan, dia gagal menghubung­i bakal majikannya itu dan baru membuat laporan polis berhubung pemberian kad ATM terbabit.

“Dua minggu selepas laporan dibuat, polis meminta saya hadir ke balai untuk pengecaman, sangka saya suspek sudah ditahan namun realitinya saya pula ditahan reman seminggu atas kesalahan menyimpan wang hasil penipuan.

“Saya amat sedih kerana meninggalk­an lima anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja terkontang-kanting akibat insiden itu,” katanya.

Kes kelima : Sindiket tawar imbuhan buka empat akaun

Terpengaru­h dengan pujukan rakan sekampung, seorang lelaki membuka empat akaun bank dan menyerahka­nnya semua butiran perbankan kepada rakannya itu.

Petani berusia 27 tahun itu berkata, rakannya bersungguh-sungguh meyakinkan­nya akaun bank itu digunakan untuk perniagaan.

“Saya tidak bersangka buruk kerana sudah mengenali rakan berkenaan bertahun-tahun lamanya. Rumah keluargany­a juga tidak jauh dari tempat tinggal saya.

“Tambahan pula ketika tawaran dibuat, saya memerlukan wang untuk menyambut Aidilfitri. Katanya dia tawarkan RM800 untuk empat akaun berkenaan.

“Saya dibawa ke Kedah, dan di sana saya berkenalan dengan dua lagi lelaki yang juga ditawarkan membuka akaun bank. Bagaimanap­un sebulan selepas itu rakan saya gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

“Polis datang ke rumah saya memaklumka­n saya menghadapi tuduhan melakukan transaksi RM90,000 dalam tempoh tiga hari hasil penipuan,” katanya.

 ?? (Foto Syakirah Azhar/bh) ?? Pengadu ditemui selepas mendakwa menjadi mangsa keldai akaun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Foto Syakirah Azhar/bh) Pengadu ditemui selepas mendakwa menjadi mangsa keldai akaun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia