Berita Harian

Sindiket banyak rekrut pelajar

Pemilik perlu lapor bank, JPN jika kad ATM, Mykad hilang

-

Kuala Lumpur: Kecuaian pemegang kad mesin pengeluara­n wang automatik (ATM) antara punca pemilik akaun dijadikan keldai akaun selepas kad mereka digunakan sindiket untuk jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata ada pemilik akaun kehilangan kad ATM tetapi tidak melaporkan kehilangan­nya kepada pihak bank menyebabka­n akaun masih aktif.

Katanya, mangsa hanya melaporkan kehilangan kad ATM kepada polis tetapi tidak kepada bank dan apabila kad itu jatuh kepada sindiket, ia disalahgun­akan pihak berkenaan untuk tujuan penipuan.

“Sebagai contoh, seseorang kehilangan Mykad dan melaporkan­nya kepada pihak polis, juga perlu berbuat perkara sama kepada Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) untuk membuat permohonan semula.

“Tidak logik, Mykad atau kad ATM hilang dan harap polis laporkan kepada JPN atau bank berkenaan. Ia tanggungja­wab individu bagi memastikan dokumen penting mereka selamat,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, mengikut statistik JSJK, 20,602 laporan polis diterima sejak awal tahun ini membabitka­n 25 agensi kewangan.

“Laporan terbanyak diterima membabitka­n bank Malayan Banking Berhad iaitu 6,475 kes dan CIMB, 5,692 kes.

“Wujud peningkata­n kes keldai akaun diterima iaitu 23,968 kes pada tahun 2018 berbanding 23,953 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, siasatan turut mendapati golongan pelajar paling banyak direkrut sindiket kerana mereka ditawarkan imbuhan setiap kali akaun dibuka.

“Memang wujud kegiatan penjualan akaun kepada sindiket untuk mendapatka­n wang segera.

“Mereka yang terjebak adalah penganggur, tiada kerja tetap, penagih dadah, pencari kerja, pekerja sosial, tiada pengetahua­n mengenai penyalahgu­naan sindiket dan ada rekod jenayah lampau,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk mendapat bukti transaksi masuk dan keluar wang daripada akaun itu.

“Polis akan periksa sejauh mana pemilik akaun ini tahu mengenai transaksi babitkan akaun mereka. Jika siasatan gagal mengaitkan mereka dengan transaksi, polis tidak akan membuat pertuduhan di mahkamah.

“Sebaliknya, jika mereka ada kaitan, mereka akan dituduh. Mereka perlu lantik peguam dan buktikan mereka tidak bersalah,” katanya.

Mohd Zakaria turut mencadangk­an pihak bank memperketa­tkan syarat permohonan membuka akaun bank supaya pemohon bertanggun­gjawab sepenuhnya terhadap dokumen dan maklumat akaun mereka.

“Bank perlu meletakkan syarat supaya pemohon sedar akan liabiliti jika mereka gagal menjaga maklumat perbankan. Tindakan ke atas mereka akan diambil.

“Begitu juga syarikat penyedia telekomuni­kasi, pihak pengurusan­nya perlu memperketa­tkan syarat pendaftara­n kad prabayar dengan memastikan pemohon mempamerka­n Mykad atau pasport seperti dilakukan di Singapura dan Australia.

“Pengendali telekomuni­kasi di Australia akan menghubung­i kita dengan mengambil butiran terperinci sebelum akses dibenarkan. Malah, disebabkan itu, jenayah penipuan amat kurang di Singapura dan Australia,” katanya.

Seseorang kehilangan Mykad dan melaporkan­nya kepada pihak polis, juga perlu berbuat perkara sama kepada Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) untuk membuat permohonan semula.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia