Berita Harian

Tertuduh didakwa miliki 13.5g methamphet­amine

-

Ampang: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan melanggar dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dari arah Ampang menghala ke Lebuhraya Duta-ulu Kelang Expressway (DUKE), Ahad lalu.

Tertuduh, Cham Shan Jer, 25, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapny­a dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Terdahulu, tertuduh yang berkemeja-t hijau dan seluar hitam dilihat hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding yang bermula pada jam 9.25 pagi.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Shan Jer didakwa memandu secara melulu hingga menyebabka­n kemalangan terhadap Lee Wei Jack dan Faizul Shahrul Mohd Salleh, yang masing-masing berusia 44 tahun, di MMR2 Kuala Ampang selepas susur AKLEH menghala ke Gombak, di sini, jam 6 pagi, pada 29 September lalu.

Shan Jer didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Shan Jer turut didakwa memiliki dadah methamphet­amine seberat 13.5 gram (g) di Balai Polis Pandan Indah, Jalan Pandan Ilmu, di sini, jam 4.30 pagi, pada 30 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakierah Zakaria, menawarkan jaminan RM18,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanap­un, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam T L Chen, memohon dibenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.

“Mangsa tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menanggung ibu bapa dan hanya bekerja sebagai penjual barang terpakai secara dalam talian,” katanya.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, dua peserta lelaki larian itu dipercayai dirempuh, menyebabka­n kedua-dua mereka cedera.

Seorang mangsa retak tulang pinggul dan dirawat di zon merah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi yang luka pada kaki menerima rawatan di zon hijau hospital sama.

Selepas pelanggara­n, kereta terbabit terus meninggalk­an lokasi kemalangan dan pemandunya tidak tampil di mana-mana balai polis untuk melaporkan kejadian itu.

 ?? (Foto Hafiz Sohaimi/bh) ?? Shan Jer diiringi anggota polis di Mahkamah Ampang, semalam.
(Foto Hafiz Sohaimi/bh) Shan Jer diiringi anggota polis di Mahkamah Ampang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia