Berita Harian

Keputusan kes rasuah RM2J Tengku Adnan 14 Oktober

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bekas Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang didakwa menerima rasuah RM2 juta, mengetahui bahawa nilai itu adalah rasuah yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, dalam hujahnya berkata, elemen penting yang ingin dikemukaka­n pendakwaan adalah berhubung pengetahua­n Tengku Adnan terhadap pertuduhan yang dihadapiny­a.

Julia yang berhujah pada akhir kes pendakwaan berkata, Tengku Adnan adalah penjawat awam yang mendapat satu barang berharga untuk diri sendiri tanpa balasan.

Hujahnya, tindakan Pengarah Urusan syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), Tan Sri Chai Kin Kong, 60, memberi RM2 juta (barangan berharga) itu mempunyai kaitan dengan urusan rasmi Tengku Adnan sebagai menteri.

“Saksi ke-19 pendakwaan (Kin Kong) memberi keterangan bahawa surat permohonan untuk membangunk­an RUMAWIP (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutua­n) dihantar secara ‘personal’ (persendiri­an) kepada tertuduh (Tengku Adnan).

“Itu adalah knowledge (pengetahua­n) yang ditimbulka­n yang mana tertuduh mempunyai pengetahua­n berkenaan perkara itu,” hujahnya.

Tambah Julia, elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan adalah knowledge (pengetahua­n) tertuduh sebagai Menteri Wilayah Persekutua­n, mempunyai tugas rasmi dengan RUMAWIP.

“Pendakwaan perlu buktikan sama ada RM2 juta diterima oleh tertuduh sendiri. Apa yang disiasat pegawai penyiasat (Penguasa Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Saad Bordani) dalam kes ini, RM2 juta masuk ke akaun syarikat.

“Tetapi, tiada pengeluara­n daripada jumlah itu kepada UMNO dan kegiatan berkaitan UMNO, seperti yang terdapat dalam keterangan saksi kelima pendakwaan (Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), Rabiatul Adawiyah Sobri),” katanya.

Dalam hujahnya, Julia berkata, isu dibangkitk­an peguam mewakili Tengku Adnan, iaitu Datuk Tan Hock Chuan, berhubung Kin Kong yang menjelaska­n dalam keterangan­nya bahawa RM2 juta itu untuk sumbangan politik, adalah sekadar penyataan semata-mata oleh anak guamnya kepada saksi ke-19 itu.

Terdahulu, Hock Chuan dalam hujahnya berkata, tidak wujud kes prima facie dalam pendakwaan yang membabitka­n rasuah berjumlah RM2 juta dihadapi Tengku Adnan.

Hujahnya, Kin Kong dalam keterangan­nya sebelum ini berkata, sumbangan politik adalah sebagai peruntukan jentera UMNO dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar, Perak.

“Dalam keterangan, Kin Kong menyatakan sumbangan RM2 juta dibuat selepas Tengku Adnan membuat permintaan (sumbangan) daripada saksi ke-19 itu.

“Dalam keterangan­nya (Kin Kong) Tengku Adnan ada memberitah­u saksi bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk (PRK),” katanya.

“Keterangan Kin Kong bertentang­an dengan pertuduhan yang dikenakan kepada anak guam saya kerana saksi jelas memberitah­u mahkamah bahawa RM2 juta adalah untuk sumbangan politik bagi membiayai PRK,” hujahnya.

Tambah Hock Chuan, pihak pendakwaan bagaimanap­un tidak mencabar bukti itu dalam pemeriksaa­n semula.

Sebelum ini, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Wang berkenaan didepositk­an ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB yang beliau mempunyai kepentinga­n dan diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubunga­n dengan kerja rasminya.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan sepanjang 12 hari perbicaraa­n.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 14 Oktober depan untuk keputusan pada akhir kes pendakwaan.

 ??  ?? Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan Tengku Mansor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia