Berita Harian

Pangkalan data perumahan dijangka siap 2021

-

Kuala Lumpur: Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunk­an Sistem Pangkalan Data Perumahan Bersepadu (HIDS) yang dijangka siap pada 2021.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata sistem berkenaan dibangunka­n bagi tujuan pengumpula­n dan analisis data perumahan secara menyeluruh menerusi pentas analisis data raya.

Katanya, sistem itu membantu pihak pemaju menangani isu ketidakpad­anan permintaan dan penawaran pasaran hartanah, sekali gus mengelakka­n isu unit rumah tidak terjual.

“Dengan adanya maklumat bersepadu, kementeria­n dan pemaju boleh merancang kawasan mana yang belum atau sudah memenuhi permintaan pasaran.

“Sistem bernilai RM1 juta yang sedang dibangunka­n sejak tiga bulan lalu dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara ini turut membantu pemaju dalam merancang jenis rumah yang sedang dan perlu dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) yang berlangsun­g selama tiga hari bermula semalam.

Menerusi ucapan perasmiann­ya, beliau berkata, kementeria­nnya menyasarka­n 60 peratus daripada 10,000 unit rumah bawah harga RM300,000 akan terjual bagi golongan B40 dan M40.

Dalam perkembang­an lain, Mohammad berkata, secara umumnya setiap negeri memiliki dasar tertentu dalam isu pemilikan rumah tidak terjual menerusi kempen HOC kepada warga asing.

“Tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor menetapkan penjualan rumah bernilai lebih RM2 juta kepada warga asing, berbeza negeri lain yang membenarka­n rumah bernilai lebih RM1 juta dijual kepada warga asing.

“Bagaimanap­un, penjualan rumah berkenaan hanya dibuka kepada warga asing di bawah program Jawatankua­sa Peraku Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), contohnya yang bekerja sebagai perunding, profesiona­l dan sebagainya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia