Berita Harian

Dapat hidayah Islam dalam penjara

-

Kuantan: Selepas memeluk Islam jiwanya kini tenang dan keinsafan semakin menebal apabila setiap hari berpeluang membaca al-quran selain mengikuti pelbagai program keagamaan.

Menurut Anas, 53 bukan nama sebenar, dia amat bersyukur dengan hidayah yang diterima empat tahun lalu ketika menerima hukuman atas kesalahan samun bersenjata di Penjara Kajang, Selangor.

Katanya, ketika berada di Penjara Penor, di sini, dia terus mengukuhka­n lagi pegangan agama apabila berpeluang mengikut program pemulihan Halaqak.

“Sebagai seorang yang buta huruf, saya mula mendalami ilmu agama secara perlahan-lahan menerusi bimbingan daripada ustaz dan tunjuk ajar rakan dalam penjara.

“Selepas empat tahun menghuni Penjara Penor, saya kini mampu menghafal beberapa surah al-quran hingga berpeluang menyertai pertanding­an perujian hafazan penjara peringkat kebangsaan dan beberapa program keagamaan peringkat penjara Pahang.

“Sebelum ini saya menganut tiga agama dan terakhir agama Buddha sebelum mendapat hidayah Islam.

“Memang kelebihan Islam tiada bandingan dengan agama lain dalam semua perkara,” katanya yang sebelum ini ketua kongsi gelap di Kuala Lumpur.

Anas ditemui selepas dia bersama-sama banduan lain menyertai Program Asyura peringkat Penjara Penor, di sini, semalam.

Program itu dianjurkan oleh Unit Pemulihan Penjara Penor disertai 35 banduan pemulihan fasa dua dibantu 27 kakitangan penjara.

Anas yang dikenakan hukuman penjara selama sembilan tahun dan akan bebas pada 2022 berkata, dia bersyukur selepas memeluk Islam isterinya terbuka hati untuk turut sama menjadi seorang Muslim.

“Selepas bebas nanti saya bercadang untuk meneruskan pengajian Islam, masih banyak lagi ilmu agama yang perlu saya dan isteri timba daripada ustaz sebagai bekalan bertemu Yang Maha Esa di akhirat nanti.

“Hidayah yang saya terima begitu besar ertinya, saya antara insan terpilih untuk bergelar Muslim selepas gagal dengan tiga agama sebelum ini,” kata datuk kepada dua cucu itu.

Sementara itu Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor Ketua Inspektor Penjara (KIP) Rosmizi Mohamed berkata, Program Asyura diadakan setiap tahun yang disertai banduan terpilih dengan kerjasama kakitangan penjara.

“Kali ini sebanyak tujuh kawah bubur asyura resipi pantai timur dan utara disediakan secara gotong-royong.

“Bubur asyura diagihkan kepada semua banduan, dengan cara itu diharap dapat mengembali­kan ingatan kepada kampung halaman seterusnya menimbulka­n keinsafan kepada mereka yang tersilap langkah memilih jalan,” katanya yang akan berusaha menambah lebih banyak program keagamaan untuk banduan.

 ?? (Foto Mohd Rafi Mamat /BH) ?? Anas (kanan) bersama banduan lain menyertai Program Asyura peringkat Penjara Penor, Kuantan.
(Foto Mohd Rafi Mamat /BH) Anas (kanan) bersama banduan lain menyertai Program Asyura peringkat Penjara Penor, Kuantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia