Berita Harian

Kerajaan Melaka bantu pendidikan etnik Rohingya

-

Melaka: “Tiada apa yang lebih menggembir­akan saya, apabila Ketua Menteri, Adly Zahari memberi perhatian dan membela nasib masyarakat Rohingya dengan bersetuju membantu dalam aspek pendidikan.

“Biarlah kami khususnya remaja diberikan sedikit ruang untuk belajar supaya dapat membantu keluarga untuk kehidupan yang lebih baik,” kata wakil remaja etnik Rohingya Arman Chaalam, 18.

Arman berkata, sebelum ini dia beberapa kali mencuba nasib berjumpa dengan Ketua Menteri pada Program Bertemu Rakyat yang diadakan di Seri Bendahara, Ayer Keroh, dengan membawa hasrat agar diberikan pendidikan kepada golongan anak kecil etnik itu supaya tidak terus membuang masa tanpa arah tuju.

Katanya, kebanyakan anak kecil dan remaja etnik itu kini tidak berbuat apa-apa malah ada yang bekerja kampung bagi mengisi masa terluang kerana tidak mampu ke sekolah.

“Saya selalu jumpa Ketua Menteri untuk memohon agar didirikan sekolah untuk kami supaya dapat belajar. Saya sampai kini tidak boleh membaca jadi tidak mahu situasi sama terjadi kepada kanak-kanak yang lain.

“Kami di sini hanya belajar mengaji dan kerana mahukan kehidupan lebih baik pada masa hadapan, saya amat berharap agar dapat ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Limbongan, di sini, semalam.

Sementara itu Adly berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan bekerjasam­a dalam memastikan golongan etnik Rohingya mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 400 masyarakat Rohingya yang menetap di Melaka dan kerajaan negeri akan bekerjasam­a dalam memberikan kehidupan yang terbaik buat mereka.

“Kita bukan sahaja melihat daripada segi kebajikan tetapi fokus pada masa ini kepada pendidikan dan Balai Islam akan dimanfaatk­an kepada beberapa kelas selain menghantar guru halaqah yang boleh membantu untuk komuniti itu serta anak mereka.

“Memandangk­an mereka mempunyai modul pendidikan tersendiri, MAIM akan mengadakan perbincang­an. Kita tahu melalui pendidikan terbaik ia boleh mengubah institusi keluarga itu sendiri,” katanya pada sidang media Pada Program Lawatan Etnik Rohingya di Kampung Limbongan, di sini.

Beliau berkata, bukan sahaja kerajaan negeri malah masyarakat etnik itu sendiri perlu faham pentingnya peranan masing-masing dalam menjayakan kerjasama ini.

“Kefahaman harus diberikan supaya mereka faham budaya dan undang-undang kita, ini juga adalah satu daripada aspek pendidikan. Dengan cara ini lebih mudah untuk mereka faham tentang persekitar­an yang diduduki,” katanya.

 ?? (Foto Muhammad Zuhairi Zuber/bh) ?? Sebahagian warga Rohingya yang hadir pada majlis lawatan Ketua Menteri Kampung Limbongan., semalam.
(Foto Muhammad Zuhairi Zuber/bh) Sebahagian warga Rohingya yang hadir pada majlis lawatan Ketua Menteri Kampung Limbongan., semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia