Berita Harian

Rodgers bakal gugat Liverpool

Bekas pengendali The Reds cemerlang bimbing Leicester sejak awal musim

-

London: Permulaan sempurna Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bakal digugat oleh Leicester City bimbingan Brendan Rodgers yang berada pada prestasi memberangs­angkan.

Juara Eropah itu mendahului liga dengan kelebihan lima mata ke atas Manchester City, tetapi The Foxes adalah pesaing terdekat kepada dua pasukan teratas itu dalam usaha mereka untuk memecah kelompok enam pasukan gergasi Inggeris.

Peluang Leicester turut dibantu dengan prestasi merudum di awal musim Tottenham, Arsenal, Chelsea dan Manchester United.

Keempat-empat pasukan berkenaan berdepan saingan yang mampu dimenangi untuk kembali berada di landasan, tetapi Spurs antara yang terdesak memerlukan kebangkita­n selepas dibelasah 7-2 oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juarajuara.

Rodgers kembali ke Anfield buat kali pertama sejak dia dipecat oleh Liverpool pada 2015.

Pengendali dari Ireland Utara itu bagaimanap­un membina kembali reputasiny­a dengan memenangi tujuh trofi sepanjang dua setengah musim di Celtic sebelum kembali ke EPL menyertai Leicester, Februari lalu.

Sejak Rodgers menggantik­an Claude Puel, Leicester mempunyai rekod ketiga terbaik dalam liga di belakang Liverpool dan juara bertahan, Manchester City.

Kemenangan 5-0 ke atas Newcastle United hujung minggu lalu meletakkan anak buah Rodgers dua mata mengatasi kelompok di belakang tangga ketiga dan kemampuan Foxes menyaingi enam pasukan teratas sudah diuji apabila seri 1-1 di Chelsea dan menang 2-1 ke atas Tottenham musim ini. Bagaimanap­un Rodgers sedar menamatkan deretan kemenangan Liverpool di Anfield dalam saingan EPL sejak April 2017 adalah cabaran yang lebih besar.

“Kami hanya mahu meneruskan tahap persembaha­n kami. Liverpool berada pada prestasi menakjubka­n, mereka lawan yang hebat untuk menguji kualiti pasukan kami,” kata Rodgers. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia