Berita Harian

Tiga penonton bertuah terima hadiah

-

Shah Alam: Tiga penonton yang memenangi hadiah cabutan bertuah pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam pada 24 Ogos lalu, menerima hadiah masing-masing di sini, semalam.

Piala Sultan Selangor 2019 menawarkan hadiah hebat berupa sebuah kereta Honda City bernilai RM80,000 selain sebuah motosikal Harley Davidson 883 Iron bernilai RM80,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel Marriott Kota Kinabalu kepada penonton bertuah yang menyaksika­n perlawanan berprestij berkenaan.

Penonton bertuah itu adalah pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, Ishak Ahmad yang memenangi motosikal Harley Davidson 883 Iron serta kakitangan Stadium Shah Alam, Muhd Shafiq Izzat Omar dan pengusaha taska, Siti Aishah Mohd yang masing-masing menerima baucar penginapan di Hotel Marriot Kota Kinabalu.

Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, hanya tiga penonton yang datang membuat tuntutan hadiah pada kali ini.

Katanya, kereta Honda City tiada yang menuntutny­a selepas tarikh tutup berakhir iaitu lebih sebulan selepas perlawanan berkenaan.

“Ini bermakna sudah masuk tahun kedua kereta Honda City itu tiada pemenang. Pun begitu, apa yang menariknya, tiket dua daripada tiga pemenang cabutan bertuah ini diberikan oleh saudara dan juga kawan sebab itu cabutan bertuah ini tepat sekali istilahnya kerana ada beli tiket banyak tidak menang, tahniah kepada semua pemenang,” katanya selepas majlis jamuan tengah hari dan penyampaia­n hadiah cabutan bertuah Piala Sultan Selangor 2019 di Restoran Uncle K, SACC Mall di sini, semalam.

Abd Karim berkata, majlis itu juga diadakan sebagai penghargaa­n kepada semua pihak terbabit dari awal sehingga akhir perlawanan berkenaan.

“Kejayaan yang terbukti pada 24 Ogos lalu adalah hasil komitmen dan sokongan semua pihak termasuk media rasmi iaitu RTM, The Star dan Berita Harian, penaja selain ketua jabatan dan agensi kerajaan yang tidak putus menyokong pertanding­an ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Karim berkata pihaknya perlu menunggu keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah terlebih dahulu bagi perlawanan tahun depan.

“Masih awal untuk memutuskan­nya. Kita tunggu tahun depan apabila Sultan Selangor memutuskan tarikhnya dan kita akan buat perancanga­n seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ishak, 58, ketika ditemui di majlis itu berkata, hadiah itu penghargaa­n besar buat dirinya yang mula meminati sukan bola sepak sejak tahun 1980an.

Beliau mengakui hampir putus asa sehingga sanggup merenyuk dan membuang tiket itu selepas menganggap tidak memenangi sebarang hadiah pada malam itu sebelum mengambiln­ya semula selepas menyedari nombor yang tertera pada tiketnya diumumkan sebagai pemenang.

“Alhamdulil­lah, saya memang tak menyangka sebab hampir putus asa. Ini adalah hadiah penghargaa­n besar buat saya sebab memang tengok bola sepak terutamany­a bola sepak Selangor sejak dulu lagi dan setiap tahun mesti tengok perlawanan Piala Sultan Selangor.

“Tiket saya ini, saya minta tolong kawan belikan dan memberikan saya tiket bernombor 00708. Saya tak sangka itu nombor bertuah. Saya abadikan nombor itu sebagai nombor pendaftara­n motosikal yang saya menang itu,” katanya yang menetap di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil.

 ?? (Foto Faiz Anuar) ?? Abd Karim (dua dari kanan) bersama Ishak pada majlis penyerahan hadiah cabutan bertuah sempena perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di Shah Alam, semalam.
(Foto Faiz Anuar) Abd Karim (dua dari kanan) bersama Ishak pada majlis penyerahan hadiah cabutan bertuah sempena perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia