Berita Harian

7 beradik yatim piatu sekelip mata

Suami isteri maut kereta terbabit nahas ketika dalam perjalanan jemput anak

- Bhnews@bh.com.my

Oleh Rosli Ilham Dungun: “Ibu suruh saya jaga adik kerana dia dan ayah nak pergi ambil dua adik yang tinggal di asrama.”

Itu pesanan terakhir Norhapisah Idris, 34, kepada anaknya, Muhammad Danial, 12, sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Sura Hujung bersama suami, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, pagi semalam.

Muhammad Danial berkata ibunya juga sempat masak mi segera untuk sarapan mereka empat beradik.

Kamal Hisham dan Norhapisah maut dalam kemalangan di Jalan FELDA Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, apabila kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki bertembung dengan Produa Alza kira-kira jam 11.15 pagi.

Dua anak mereka yang parah di kepala ialah Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan Muhammad Darwish Iqbal, 9.

Muhammad Danial berkata, dia sangat terkejut apabila diberitahu oleh bapa saudaranya kedua-dua insan kesayangan­nya itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Biasanya kalau ke mana-mana, ayah dan ibu akan bawa kami adik-beradik bersama, tapi hari ini (semalam) ayah minta saya jaga adik-adik di rumah,” katanya.

“Saya hanya sempat melihat Muhammad Danish dan Muhammad Darwish ketika mereka dibawa keluar dari bilik kecemasan untuk dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Saya hanya mampu menangis dan tidak sempat nak cakap apa-apa memandangk­an Muhammad Danish kelihatan kritikal dengan memakai alat bantuan pernafasan,” katanya.

Muhammad Danial berkata, kedua-dua adiknya itu dilaporkan parah di bahagian kepala di mana Muhammad Danish paling kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

“Saya tidak mahu kehilangan mereka dan berdoa agar mereka selamat. Minta Allah selamatkan adik,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Kamal Hisham, Ramlah Jusoh, 67, berkata beliau akan berbincang dengan keluarga sebelah ibu kanak-kanak terbabit berkaitan penjagaan mereka.

“Kasihan budak-budak itu kini bergelar yatim piatu dan mereka perlu dibesarkan dan diberi pendidikan yang sebaik mungkin,” katanya.

Tiga lagi anak pasangan itu ialah Muhammad Dhiyauddin Hisham, 8, Dayyainah Atirah, 3, Muhammad Daim Amin, 6.

Ramlah berkata, lapan beranak itu tinggal tidak jauh dari rumahnya di Kampung Sura Hujung, dan kehidupan mereka sekeluarga susah memandangk­an arwah Kamal Hisham bekerja kampung serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, perkara itu membuatkan dia sering membantu keluarga anak saudaranya itu.

“Setiap hari, saya akan masak pelbagai makanan untuk sarapan pagi dan tengah hari untuk dihantar ke rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ??
 ??  ?? Kamal Hisham Mustaffa Mohammad
Kamal Hisham Mustaffa Mohammad
 ??  ?? Norhapisah Idris
Norhapisah Idris
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia