Berita Harian

Dasar perlu seiring pertumbuha­n ekonomi

-

Kuala Lumpur: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) adalah usaha kerajaan mengagih ekonomi negara secara adil dan saksama kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaa­n WKB 2030 perlu bergerak seiring dengan usaha memacu pertumbuha­n ekonomi yang pesat dan meningkatk­an daya saing negara.

Katanya, WKB 2030 adalah tawaran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi seluruh rakyat dengan kedua-dua matlamatny­a tidak boleh bercanggah antara satu sama lain.

“Atas kesedaran bahawa ini adalah amanah besar dipikul kerajaan untuk rakyat, semua inisiatif di bawah WKB 2030 mestilah dilaksanak­an dengan gigih dan bersungguh-sungguh oleh semua kementeria­n, jabatan dan agensi pelaksana.

“Selain itu, satu sistem pemantauan secara bertahap hendaklah diwujudkan untuk memastikan keberhasil­an setiap sasaran ditetapkan di bawah teras dan strategi utama WKB2030 dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata demikian pada Majlis Pelancaran WKB 2030 yang disempurna­kan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menerusi WKB 2030 itu, Muhyiddin berkata, pelbagai usaha akan dilaksanak­an kerajaan bagi meningkatk­an pendapatan rakyat yang akan membolehka­n setiap isi rumah mencapai taraf hidup wajar, mendapat akses kepada perkhidmat­an kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas berkualiti.

“Semua matlamat ini terkandung dalam WKB 2030 yang juga kesinambun­gan daripada Wawasan 2020 diilhamkan Dr Mahathir. Ia adalah gagasan holistik dan komprehens­if, selain menyediaka­n landasan baharu untuk melonjakka­n pencapaian ekonomi negara.

“Saya percaya ramai bertanya mengenai kedudukan Bumiputera dalam WKB 2030. Prinsip asasnya adalah jelas, iaitu mana-mana kumpulan masyarakat terpinggir akan dibantu kerajaan, termasuk golongan B40 yang lebih 70 peratus daripadany­a adalah Bumiputera.

“Strategi dan inisiatif khusus akan dilaksana di bawah WKB 2030 untuk meningkatk­an pendapatan golongan B40 serta menyediaka­n pelbagai sokongan untuk meningkatk­an keupayaan diri, termasuk pembanguna­n kemahiran dan profesiona­lisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.

“Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang akan menerima manfaat paling utama. Malah, keberhasil­an Bumiputera secara keseluruha­nnya adalah antara intipati penting WKB 2030.

“Begitu juga dengan kaum lain dengan hampir 30 peratus daripada golongan B40 adalah bukan Bumiputera. Semua mereka juga akan menerima manfaat besar daripada pelbagai inisiatif akan dilaksanak­an kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, WKB 2030 adalah berbeza dengan dasar ekonomi terdahulu yang kebanyakan­nya melihat jurang ekonomi dari sudut kaum.

Sebaliknya, beliau berkata, WKB 2030 melihat masalah jurang ekonomi daripada sudut lebih luas, iaitu merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan.

“Menerusi pendekatan lebih holistik ini, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dapat mengecapi nikmat kemakmuran apabila segala jurang ekonomi yang wujud di negara ini dapat dirapatkan. Inilah yang ingin kita capai menerusi WKB 2030.

“Setiap strategi dan inisiatif diambil di bawah WKB 2030 mestilah mampu memacu pertumbuha­n ekonomi lebih pesat dan mengekal serta meningkatk­an daya saing negara.

“Pengagihan ekonomi yang adil dan saksama hanya akan dapat dilaksanak­an dalam keadaan ekonomi negara berkembang dengan rancak dan mapan. Tiada apa yang boleh diagih kepada rakyat sekiranya pertumbuha­n ekonomi negara perlahan dan menguncup,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia