Berita Harian

Resolusi bukan idea ‘syok sendiri’

Sumbang saran aspirasi berteras Rukun Negara

- Wananwar@bh.com.my

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman Kuala Lumpur: Resolusi yang akan dibentangk­an pada Kongres Maruah Melayu dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini adalah bersumberk­an kepada Perlembaga­an, Rukun Negara, akta dan undang-undang.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, berkata cadangan, sumbang saran dan aspirasi yang terkandung dalam resolusi itu bukan pandangan ‘syok sendiri’ penganjur sebaliknya berasaskan sumber perundanga­n ulung negara.

Katanya, resolusi dalam bidang pendidikan yang dibentangk­annya hari ini adalah berpanduka­n kepada Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Perlembaga­an dan Rukun Negara.

“Resolusi kami dalam bidang pendidikan misalnya, kami akan kemukakan kepada kerajaan supaya mengambil serius dalam aspek menjadikan pendidikan sebagai asas kepada agenda perpaduan antara kaum.

“Agenda perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan setiap rakyat menguasai dan mampu menggunaka­n Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembaga­an serta dipersetuj­ui menerusi Kontrak Sosial.

“Resolusi ini terhasil menerusi kajian, perbincang­an meja bulat, saranan dan pandangan disuarakan ramai pakar dalam bidang pendidikan yang berpengala­man sejak dulu hingga masa kini termasuk pelajar,” katanya.

Sekretaria­t penganjur Kongres Maruah Melayu sebelum ini menegaskan kongres itu bukan program bersifat perkauman, sebaliknya ia satu kesedaran dan semangat ingin melihat masyarakat Melayu kembali bersatu dan menggilap semula kegemilang­an bangsa.

Kongres berkenaan dianjurkan secara bersama empat universiti iaitu UPSI, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta satu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

UM akan mengendali­kan isu politik, UITM (ekonomi), UPSI (pendidikan) dan UPM (kebudayaan) manakala NGO menumpukan bidang agama.

Kongres berkenaan terbuka kepada orang ramai termasuk semua parti politik Melayu. Setakat ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahka­n hadir, UMNO diwakili Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia