Berita Harian

Lat terima Ijazah Doktor Kehormat Anugerah Seni

-

Kuala Lumpur: Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat dianugerah­kan Ijazah Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni oleh Universiti Taylor’s, semalam.

Anugerah berkenaan disampaika­n oleh Naib Canselor merangkap Presiden Universiti Taylor’s, Prof Michael Driscoll kepada Lat dalam Majlis Konvokesye­n ke-19 di sini.

Penganuger­ahan itu adalah penghormat­an ke-10 dalam majlis itu sebagai penghargaa­n atas sumbangan Lat terhadap pembanguna­n genre seni visual di tanah air.

Prof Driscoll berkata, tidak dapat dinafikan Lat meninggalk­an impak kepada rakyat negara ini selain ketelitian kerjanya amat dikagumi.

“Beliau (Lat) berjaya menyampaik­an pandangan terhadap kepelbagai­an budaya menerusi lukisan hitam dan putihnya.

“Beliau juga adalah ikon budaya Malaysia dan kami berharap karyanya akan terus memberi impak kepada rakyat pada tahun berikutnya,” katanya.

Tambah Prof Driscoll, sebagai kartunis terkenal dengan karyanya seperti Kampong Boy, Lat setakat ini sudah menerima penghormat­an sedemikian kali keempat, termasuk daripada Universiti Taylor’s.

“Kampung Boy adalah cara saya untuk kembali ke zaman kanak-kanak dan berkongsi perasaan itu dengan dunia, saya juga berharap anak-anak muda dari seluruh negara turut berbuat demikian untuk mengetahui lebih lanjut tentang gaya hidup seseorang, contohnya dari Melaka atau Sabah.

“Ini adalah kali kedua Universiti Taylor’s memberikan anugerah penghormat­an kepada tokoh dalam industri seni. Tahun lalu, universiti ini memberikan Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni kepada Datuk Faridah Merican untuk usaha beliau dalam memupuk minat bidang teater di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Lat ketika dihubungi BH meluahkan kesyukuran di atas penghargaa­n universiti berkenaan dalam menilai sumbangann­ya menaikkan identiti kebudayaan Malaysia menerusi seni lukisan.

“Saya harap ini memberi inspirasi kepada pelukis muda menghasilk­an lebih banyak karya berasaskan identiti negara sendiri yang unik dan berbudaya sekali gus menaikkan martabat negara di peringkat dunia.

“Jangan pandang seni lukis sebagai hiburan semata-mata kerana di negara maju seperti Jepun dan Eropah sudah berdekad lamanya menyampaik­an mesej pendidikan, keselamata­n, kesihatan dan pencegahan jenayah menerusi seni lukis tanpa tulisan.

“Pembabitan saya secara aktif dalam bidang komik dan lukisan ini sudah melebihi 55 tahun, penghasila­n karya adalah berdasarka­n pengamatan terhadap kehidupan rakyat berbilang kaum dan saya akan terus berkarya untuk rakyat selagi kudrat masih ada,” katanya.

 ?? (Foto Mustaffa Kamal/bh) ?? Lat dianugerah­kan Ijazah Doktor Kehormat Universiti Taylor’s di Kuala Lumpur, semalam. dalam Anugerah Seni oleh
(Foto Mustaffa Kamal/bh) Lat dianugerah­kan Ijazah Doktor Kehormat Universiti Taylor’s di Kuala Lumpur, semalam. dalam Anugerah Seni oleh

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia