Berita Harian

IPT diingat didik graduan jiwai prinsip Rukun Negara

Agong mahu generasi baharu sarat nilai murni bentuk negara

- Fidahruzki@bh.com.my

Oleh Rafidah Mat Ruzki Shah Alam: Graduan hari ini diingatkan menjiwai prinsip Rukun Negara selain menjadi individu yang bijaksana dan cenderung kepada kebaikan serta mempunyai nilai-nilai murni, titah Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UITM), bertitah negara memerlukan pelapis warisan untuk mendukung amanah dan cita-cita yang dituntut oleh Rukun Negara.

Justeru, titah Al-sultan Abdullah, baginda ingin menyaranka­n agar UITM dan institusi pengajian tinggi negara yang lain mendidik graduan dengan nilai-nilai yang dituntut oleh Rukun Negara.

Baginda bertitah, ketika negara mula-mula merdeka, wujud jurang antara kekayaan bandar dan kemiskinan desa serta jurang perbezaan kemewahan antara kaum yang lama kelamaan menjadi sukar dibendung dan akhirnya menyalakan api perbalahan, yang mendorong pemimpin negara seperti Tun Abdul Razak membentuk satu formula dinamakan Rukun Negara.

“Rukun Negara bukanlah sekadar hanya dibaca pada saban tahun kita menyambut Hari Kebangsaan Negara. Sebaliknya, semangat dan roh Rukun Negara hendaklah dijiwai dan diterapkan dalam setiap aspek kehidupan harian.

“Prinsip pertama ialah Kepercayaa­n Kepada Tuhan. Ini bermakna negara ini dan rakyatnya dibentuk atas asas kepercayaa­n yang kukuh kepada Tuhan. Penggubal Rukun Negara menyedari akan hakikat bahawa agama dan Tuhan adalah asas keperibadi­an serta identiti rakyat dan negara.

“Menerusi prinsip kedua, Raja bukanlah sekadar lambang tetapi adalah payung kedaulatan negara. Prinsip ini menuntut rakyat mentaati Raja dan negara dan bukan sebaliknya menjadi hamba kepada agenda perselisih­an, pertikaian mahupun permusuhan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesye­n UITM ke-91 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, pagi semalam.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Yang turut hadir, Pro-canselor UITM termasuk Tun Ahmadshah Abdullah; Tan Sri Dr Arshad Ayub; Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dan Naib Canselor, Profesor Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim.

Al-sultan Abdullah bertitah, prinsip ketiga Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembaga­an yang mengkehend­aki setiap rakyat Malaysia memahami, mematuhi dan mempertaha­nkan Perlembaga­an Persekutua­n.

Titah baginda, prinsip keempat pula menetapkan bahawa keadilan hendaklah diasaskan atas kedaulatan undang-undang dan menghormat­i serta mematuhiny­a menjadi tanggungja­wab setiap rakyat Malaysia manakala prinsip terakhir menyaranka­n agar hubungan antara masyarakat berbilang agama dan bangsa hendaklah disulami budaya hormat menghormat­i, sopan santun dan nilai-nilai murni.

Baginda bertitah masyarakat yang tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah akan terus hanyut melakukan kesilapan yang sama berulang kali.

Pada masa sama, titah Al-sultan Abdullah, usaha berterusan wajar dilaksanak­an di seluruh pelusuk negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalka­n Rukun Negara.

Titah Al-sultan Abdullah, baginda yakin Malaysia akan terus aman makmur dan harmoni dengan rakyat yang bersatu padu.

Seramai 24,914 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada istiadat konvokesye­n yang akan berlangsun­g di kampus induk di Shah Alam dan 12 kampus cawangan bermula semalam hingga 7 esok.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Al-sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah bergambar bersama graduan cemerlang pada Istiadat Konvokesye­n UITM Ke-91 di Dewan Agong Tuanku Canselor UITM, semalam.
(Foto BERNAMA) Al-sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah bergambar bersama graduan cemerlang pada Istiadat Konvokesye­n UITM Ke-91 di Dewan Agong Tuanku Canselor UITM, semalam.
 ??  ?? Al-sultan Abdullah menyampaik­an ijazah kepada graduan pada Istiadat Konvokesye­n UITM Ke-91, semalam.
Al-sultan Abdullah menyampaik­an ijazah kepada graduan pada Istiadat Konvokesye­n UITM Ke-91, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia