Berita Harian

Budak hidap kanser dibawa naik jentera bomba

-

Kuantan: Hasrat seorang kanak-kanak penghidap kanser otak, Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) tahap empat yang ingin menaiki jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tercapai setelah dibawa menaiki kenderaan yang dipandu sendiri Pengarah JBPM Pahang di sini, semalam.

Meskipun lumpuh seluruh badan dan tidak boleh bercakap, namun, Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, yang lengkap dipakaikan uniform JBPM dibawa bersiar-siar sekitar Beserah, selama 10 minit.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad, berkata hasrat kanak-kanak itu disuarakan oleh Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (PESONA) yang mahu menunaikan impian Ahmad Danial yang bercita-cita menjadi anggota bomba.

“Apabila didekati oleh PESONA untuk mengadakan program ini, kenapa tidak kita buat dan perlu dilakukan secepat mungkin sebab kita tidak tahu bila akan dapat peluang ini.

“Kita faham perasaan yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak ini dan kita mahu berkongsi kesedihan mereka,” katanya pada sidang media selepas membawa Ahmad Danial bersiar-siar di sini.

Katanya, beliau menawarkan diri memandu jentera terbabit kerana ingin memberikan penghormat­an kepada pelajar Sekolah Rendah Agama Al-irsyad itu.

“Sama ada dia tahu ataupun tidak, itu bukan persoalann­ya. Yang penting, setiap saat dan minit itu dapat menggembir­akannya,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Ahmad Danial, Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata penderitaa­n yang dihidapi anaknya itu dikesan sejak Mac tahun ini selepas melihat matanya juling.

“Dia pernah cakap cita-cita dia nak jadi anggota Bomba. Sebab itu hasratnya saya suarakan kepada PESONA.

“Mulanya saya sangka dia juling. Tetapi, selepas kesihatann­ya semakin merosot, saya bawa ke Hospital Universiti Islam Antarabang­sa dan doktor mengesahka­n ada tumor di otak,” katanya.

Katanya, Ahmad Danial kini hanya terlantar di rumah sejak Mei lalu dan bergantung kepada rawatan dan ubat-ubatan hospital.

 ?? (Foto Muhd Asyraf Sawal/bh) ?? Nor Hisham memandu jentera bomba untuk membawa Ahmad Danial bersiar-siar di sekitar Beserah.
(Foto Muhd Asyraf Sawal/bh) Nor Hisham memandu jentera bomba untuk membawa Ahmad Danial bersiar-siar di sekitar Beserah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia