Berita Harian

Amalan baca al-quran jadi santapan jiwa setiap hari

Wan Ahmad Nur Firas mula hafaz juz Amma seawal usia dua tahun

- Oleh Hasliza Hassan hasliza_hassan@bh.com.my

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ternyata, peribahasa Melayu ini tersirat makna cukup mendalam kerana pendidikan anak sedari mereka dilahirkan, malah komunikasi ibu dengan bayi sudah bermula sejak dalam kandungan.

Antara petua mendapat anak soleh, bakal ibu perlu memperdeng­arkan bacaan al-quran kepada bayi sejak di alam rahim lagi dan mengamalka­n membaca surah pilihan dengan niat membentuk jati diri anak kelak.

Didedahkan dengan hafazan bermula juz Amma seawal usia dua tahun, qari cilik tanah air, Wan Ahmad Nur Firas Wan Mohd Nurussabah, 12, dididik untuk menjadikan amalan membaca dan menghafal al-quran sebagai santapan jiwa setiap hari.

“Saya mesti mahu membaca dan menghafaz ayat al-quran kerana jika tidak, rasa macam ada yang tidak lengkap dan hati resah sahaja.

“Apabila sudah baca al-quran, baru tenang dan sekurang-kurangnya setiap hari hafaz satu halaman,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Sebenarnya, membaca al-quran sekurang-kurangnya setengah jam selepas Subuh dan sejam selepas solat Maghrib menjadi rutin tujuh anak kepada pasangan Wan Mohd Nurussabah Abd Karim, 43, dan Fazilah Ahmad, 42, yang menetap di Sungai Petani.

Justeru, kebiasaan itu memudahkan anak kedua mereka itu melakukan perkara disukainya, iaitu membaca dan menghafaz surah bersama adik-beradik lain setiap hari hingga kini sudah menghafaz al-mulk, as-sajadah dan al-baqarah.

Kecenderun­gan untuk memperbaik­i bacaan dan keupayaan menghafaz mendorong pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani itu mencabar diri menyertai pertanding­an hafazan dan tilawah al-quran pada peringkat negeri, kebangsaan serta antarabang­sa.

Menurut Firas, sokongan keluarga, terutama bapanya yang banyak memberi semangat dan membuka ruang untuk menyertai pertanding­an membolehka­nnya menimba ilmu serta pengalaman menarik.

Kenangan yang sentiasa terpahat dalam ingatan adalah apabila terpilih menyertai program realiti Qari Junior TV3 pada 2016 ketika berumur sembilan tahun. Sebagai peserta termuda yang berjaya ke peringkat akhir menyertai empat qari lain, semestinya beliau menjadi perhatian.

“Seronok sebab dapat kenal kawan baharu, belajar ilmu hafazan lebih mendalam dengan ustaz dan masuk televisyen.

“Rasa popular juga apabila berada di luar, ada orang yang menegur, bertanya dan ingin bergambar,” katanya.

Mula menyertai pertanding­an hafazan pada usia enam tahun, kemenangan pertama diraih Wan Ahmad Nur Firas apabila diumumkan Johan Tadika PASTI Negeri Kedah, diikuti dengan kejayaan dalam Majlis Tadarus Al-quran Sekolah-sekolah (MTQSS) peringkat daerah dan negeri.

Beliau terus mendapat pengiktira­fan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah (Hafazan Sekolah Rendah) Negeri Kedah Tahun 1441H/2019M.

Lebih menggembir­akan, beliau turut terpilih bersama tujuh peserta lain mewakili Malaysia dalam Pertanding­an Tilawah Antarabang­sa Tijan Annour Musim Ke-8 di Doha, Qatar pada April lalu.

“Memang berdebar berada di atas pentas besar dan bersaing dengan 51 peserta dari 20 negara.

“Bagaimanap­un, saya rasa bertuah dapat bertemu dengan peserta luar negara dan mendengar qiraat mereka.

“Kelebihan peserta Indonesia yang menjadi juara pula adalah pada nada suara yang tinggi,” katanya.

Bercita-cita menghafaz 30 juzuk al-quran sebelum 18 tahun, beliau melahirkan hasrat melanjutka­n pengajian dalam bidang kejurutera­an di Universiti Madinah kerana ingin mengikut jejak langkah bapa dan ibu saudara yang sedang belajar di sana.

Biarpun lebih meminati hafazan, Wan Ahmad Nur Firas turut berjinak-jinak mendalami ilmu taranum pada usia 10 tahun dan mengasah kemahiran itu dengan menyertai Tilawah al-quran hingga sering mendapat tempat pertama atau kedua.

Beliau mempelajar­i ilmu taranum daripada Ustaz Khairul Bashar Hashim, manakala Sheikh Dr Redha Uwais Hassan Surar pula membantuny­a dari segi sebutan.

Wan Ahmad Nur Firas yang dibimbing ibu bapanya dalam menghafaz al-quran, gemar mengikut cara bacaan Sheikh Abu Bakar al-shatri dari Arab Saudi dan Sheikh Mishary Rashid (Kuwait).

Beliau berkata, mereka yang sentiasa memelihara hubungan dengan kitab suci itu akan diangkat darjat, selain dikurniaka­n kejayaan dalam kehidupan.

“Mukjizat al-quran ialah kita tidak akan pernah rasa bosan membacanya, dimurahkan rezeki dan hidup mendapat ketenangan.

“Pantang larang juga perlu diikuti supaya memudahkan hafazan dan mengelak daripada melihat perkara tidak elok. Saya juga menjaga pemakanan dengan mengurangk­an makanan berlemak dan berminyak,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Nurussabah berkata, selain kesungguha­n, usaha keras dan minat mendalam, peluang serta rezeki berpihak kepada anaknya apabila terpilih menyertai banyak pertanding­an.

Beliau yang mencontohi arwah bapanya mengajar anak membaca al-quran sejak kecil, mempercaya­i anak yang dididik dengan kalam Allah SWT akan mentaati perintah-nya dan mudah melakukan perkara baik.

Katanya, didikan itu perlu dilakukan dengan sabar dan istiqamah, manakala minat mempelajar­i serta mendalami al-quran lebih mudah jika dimulakan ketika anak masih kecil kerana jiwa mudah dibentuk.

Saya mesti mahu membaca dan menghafaz ayat al-quran kerana jika tidak, rasa macam ada yang tidak lengkap dan hati resah sahaja. Wan Ahmad Nur Firas Wan Mohd Nurussabah, Qari cilik tanah air

 ??  ?? Mewakili Malaysia pada Pertanding­an Tilawah Antarabang­sa Tijan Annour Musim Ke-8 di Doha, Qatar.
Mewakili Malaysia pada Pertanding­an Tilawah Antarabang­sa Tijan Annour Musim Ke-8 di Doha, Qatar.
 ??  ?? Wan Ahmad Nur Firas (kiri) dan adik-beradiknya diberi pendedahan oleh ibu bapa menghafal al-quran sejak umur dua tahun.
Wan Ahmad Nur Firas (kiri) dan adik-beradiknya diberi pendedahan oleh ibu bapa menghafal al-quran sejak umur dua tahun.
 ??  ?? Wan Ahmad Nur Firas bersama hadiah pertanding­an hafazan dan tilawah al-quran.
Wan Ahmad Nur Firas bersama hadiah pertanding­an hafazan dan tilawah al-quran.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia