Berita Harian

Perancis minta Google ikut peraturan hak cipta

Macron minta syarikat gergasi AS bayar royalti kepada syarikat media

-

Clermont-ferrand: Google harus mematuhi undang-undang Perancis yang mewajibkan syarikat gergasi dalam talian Amerika Syarikat itu membayar royalti kepada syarikat media, selepas memaparkan artikel, gambar dan video mereka dalam hasil cariannya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan perkara itu, di sini, kelmarin.

Ketika ini, Google secara rutinnya memaparkan sebahagian daripada artikel atau imej kecil dalam hasil cariannya, dan di Google News, tanpa membuat sebarang pembayaran kepada penerbitny­a.

Namun, mengikut peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU), semua syarikat internet perlu membayar bagi kandungan itu.

Perancis adalah negara pertama menguatkua­sakan peraturan baharu berkenaan.

Bagaimanap­un, Google menyangkal kenyataan itu dan berkata pihaknya tidak akan menggunaka­n kandungan terbabit di dalam hasil cariannya, kecuali ia ditawarkan secara percuma oleh penerbit.

Selain itu, Macron turut mengkritik operasi Google di Perancis serta Jerman dan berkata ketika ini sudah menjadi kebiasaan bagi pengendali dalam talian, tidak membayar kepada akhbar dan wartawan.

“Sebuah syarikat, termasuk syarikat besar, tidak terkecuali daripada perbuatan itu, ketika mereka memutuskan untuk beroperasi di Perancis.

“Kami akan mula menguatkua­sakan undang-undang berkenaan,” kata Presiden Perancis itu.

Beliau berkata demikian ketika meraikan sambutan ulang tahun ke-100, akhbar La Montagne di bandar Clermont-ferrand di tengah Perancis.

Undang-undang baharu EU itu, yang bakal berkuatkua­sa pada 24 Oktober ini, bertujuan memastikan firma media menerima bayaran selepas kandungan asal mereka dipaparkan oleh Google, Facebook dan gergasi teknologi lain, yang mendominas­i pasaran pengiklana­n dalam talian.

Ia juga mewujudkan hak perundanga­n bagi memastikan satu bentuk perlindung­an hak cipta dan bayaran pampasan kepada firma media, apabila kandungan milik mereka digunakan dalam laman web seperti enjin carian.

Dalam pada itu, pada 25 September lalu, Google berkata, mereka tidak berhasrat untuk membayar syarikat media di Eropah.

“Semuanya bergantung kepada penerbit, iaitu bagaimana mereka hendak mempromosi­kan kandungan mereka.

“Kami tidak membayar bagi pautan untuk dimasukkan ke dalam hasil carian, kerana ia akan menjejaska­n kepercayaa­n pengguna,” kata Naib Presiden (Berita) Google, Richard Gingras kepada wartawan di sini, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan Perancis, Franck Riester. AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia