Berita Harian

Sasaki ‘dihukum’ bermula di petak kedua belakang

-

Kuala Lumpur: Ayumu Sasaki menerima ‘hukuman’ dilakukann­ya pada sesi latihan pertama dengan hari ini dijadual mengharung­i perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand dari petak kedua paling belakang.

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu dikenakan penalti grid di Litar Antarabang­sa Chang di Buriram kerana menunggang secara perlahan pada sesi berkenaan yang menyaksika­n dirinya melakukan catatan kesembilan terpantas keseluruha­n, 1 minit 43.481 saat, kelmarin.

Sasaki yang memasuki usia 19 tahun kelmarin bagaimanap­un enggan mengambil pusing mengenai hukuman berkenaan dan semalam, dia mencatatka­n 1'44.251s pada sesi kelayakan untuk berada di kedudukan ke-18.

Begitupun, atas penalti grid yang dikenakan itu, Sasaki harus bermula daripada petak ke-28 - sebaris pelumba Kommerling Gresini Moto3, Riccardo Rossi yang berada di grid paling terakhir.

“Saya bermula daripada belakang esok (hari ini) tetapi saya mempunyai keyakinan yang kuat,” kata Sasaki. “Kami sudah bersedia untuk perlumbaan. Sekarang ini, kami perlu fokus kepada sesi pemanas badan kerana ia penting dan kita lihat apakah yang akan berlaku pada perlumbaan.

“Ini kali pertama bermula daripada petak belakang tetapi semuanya berkemungk­inan (bersaing dengan kelompok depan) kerana perlumbaan di trek ini kebiasaann­ya membabitka­n kelompok yang besar. Saya perlu fokus dan cuba memintas pesaing dalam dua pusingan awal, tidak terjatuh dan melakukan yang terbaik.”

Rakan sepasukan Sasaki, John Mcphee bermula daripada petak ke-13 selepas mencatat 1'43.398s pada sesi kelayakan kedua. Pelumba SKY Racing Team VR46, Celestino Vietti menyambar petak utama pertamanya musim ini dengan mencatat masa terpantas, 1'42.599s.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba pasukan Adam Norrodin dijadual memulakan perlumbaan daripada petak paling akhir, ke-32 selepas mencatat 1'37.775s pada sesi kelayakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia