Berita Harian

Pastikan mahkamah ada kuasa kaji undang-undang

-

Petaling Jaya: Kebebasan badan kehakiman sangat penting untuk memastikan mahkamah mempunyai kuasa untuk mengkaji tindakan undang-undang yang diambil oleh mana-mana pihak.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, berkata konflik di antara kuasa kerajaan dan kebebasan individu sudah wujud sekian lama tetapi masalah seperti itu memang dijangka dalam negara demokrasi.

Katanya, piawaian tadbir urus yang baik menetapkan pelaksanaa­n kuasa itu mesti dikawal agar tidak mengganggu hak individu.

“Ia adalah pandangan ikhlas saya mengenai kepentinga­n perlembaga­an dalam institusi awam. Hasilnya ialah wujud kerajaan yang bertanggun­gjawab berlandask­an prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidanga­n Perlembaga­an dan Kedaulatan Undang-undang LAWASIA 2019, bertemakan, ‘Kerajaan Perlembaga­an: Kepentinga­n Struktur dan Institusi Perlembaga­an, di sini, semalam.

Tengku Maimun juga menekankan kewajipan kerajaan untuk melindungi hak rakyat termasuk kehidupan, kebebasan dan harta benda.

“Sekiranya kerajaan gagal untuk melindungi hak rakyat, rakyat mempunyai hak untuk menjatuhka­n kerajaan,” katanya.

Memetik keputusan penting Mahkamah Persekutua­n dalam kes penukaran agama anak M Indira Gandhi, ketua hakim negara itu berkata, tiada undang-undang yang boleh menyekat kuasa yang ada pada mahkamah untuk semakan kehakiman.

Isu dalam kes itu sama ada penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenaran ibu mereka dibolehkan untuk semakan kehakiman.

Keputusan penukaran agama yang dibuat oleh badan persekutua­n berkaitan, tidak diterima dalam semakan kehakiman.

“Dalam menolak hujah itu, Mahkamah Persekutua­n secara tegas memutuskan semakan kehakiman adalah konsep yang wujud dalam perintah perlembaga­an.

“Kuasa ini berfungsi untuk mendukung perlembaga­an. Dapatan keputusan dalam kes Indira Gandhi itu bermaksud bahawa pengawalan prinsip pemisahan kuasa dalam struktur asas memberi makna sebenar kepada pemelihara­an teras perlembaga­an,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia