Berita Harian

Cukai baharu tak beban rakyat mungkin diperkenal

-

Kuala Lumpur: Beberapa cukai baharu yang tidak membebanka­n rakyat mungkin diperkenal­kan bagi menambah pendapatan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan turut memperkema­skan sistem percukaian sedia ada yang tidak tertib dan tersusun sehingga ada pihak terlepas daripada membayar cukai.

Beliau berkata, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan oleh kementeria­n dan agensi berkaitan.

“Sistem (percukaian) ini dulu tidak dikenakan dengan cara yang tertib, tersusun dan ramai orang yang terlepas daripada membayar cukai. Jadi (kaedah) membayar cukai akan diperkemas­kan lagi.

“Kita juga mungkin terpaksa perkenalka­n cukai-cukai baharu yang tidak terlalu membebanka­n rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, di sini semalam.

Dr Mahathir ditanya sama ada inisiatif baharu kerajaan bagi meningkatk­an hasil serta menambah baik pematuhan cukai seperti digariskan dalam WKB 2030, turut termasuk melaksanak­an semula Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST).

Inisiatif baharu itu digariskan di bawah Pemboleh Daya Satu-kemampanan Fiskal WKB 2030, bersama usaha meningkatk­an kecekapan cukai dan memperluas asas cukai.

Sementara itu, Perdana Menteri mengajak rakyat terus memberi maklum balas dan laporan kepada kerajaan mengenai prestasi pelaksanaa­n inisiatif WKB 2030, selain laporan daripada kementeria­n terpilih.

“Kita akan kenal pasti kementeria­n berkenaan sebab banyak kementeria­n akan terbabit. Mereka diberikan kuasa, tetapi kita juga bergantung kepada orang ramai supaya beri laporan supaya tidak ada berita palsu.

“Kita harap dapat kerjasama daripada orang ramai, beri maklumat kepada kita. Umpamanya, tidak mudah (sukar) mendapat sesuatu kerja (kontrak), (pihak memperoleh kontrak) tidak dapat teruskan (kerja). Kita akan ambil tindakan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia