Berita Harian

Tun M tolak kerajaan pakatan BN-PAS

Kerjasama dengan BN, PAS tak sesuai dalam masyarakat pelbagai kaum, agama

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk menubuhkan kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata, pelawaan itu tidak sesuai dengan keadaan semasa di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum. Ia tidak sesuai.

“Pihak kerajaan, sejak kita merdeka hingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Kelmarin, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, sekiranya Dr Mahathir ikhlas mahu kedudukan Melayu dan Islam dimartabat­kan, beliau wajar menubuhkan kerajaan baharu dengan kerjasama BN, PAS dan rakan dari Sabah serta Sarawak.

Mohamad berkata, beliau bersetuju dengan gesaan Dr Mahathir ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu supaya orang Melayu dan Islam bersatu, tetapi tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana yang diharapkan Perdana Menteri.

Mengulas desakan pihak tertentu yang meminta beliau berhenti mengeluark­an kenyataan mengaitkan Melayu sebagai malas, Dr Mahathir berkata, beliau tetap dengan pendiriann­ya yang dilontarka­n pada Kongres Maruah Melayu itu.

Perdana Menteri berkata, kenyataan yang beliau suarakan itu adalah satu kebenaran berdasarka­n pemerhatia­nnya yang mendapati masih ramai orang Melayu tidak mahu bekerja.

Justeru, dengan kenyataan itu, beliau berharap orang Melayu berusaha memperbaik­i taraf hidup mereka dan tidak bergantung kepada orang lain.

“Saya dapati ada orang tak nak kerja, maknanya dia tiada minat. Kalau kita tak boleh tegur orang, macam mana kita nak betulkan orang?

“Kalau dia buat salah pun kita puji, itu salah. Saya cuma kata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ketika berucap di kongres itu, menyifatka­n masyarakat Melayu tidak sanggup membuat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina serta berpendapa­tan kecil.

Katanya, ia berbeza dengan warga asing yang datang ke negara ini dan sanggup bekerja dalam pekerjaan yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya tetapi akhirnya berjaya memajukan diri.

Dr Mahathir berkata, ucapannya yang dikatakan mengkritik sikap orang Melayu bukan satu kesalahan.

Katanya, beliau menegaskan dalam ucapannya itu bahawa orang Melayu tidak boleh berharap kepada orang lain atau kerajaan untuk memajukan diri.

“Itu isi kandungan ucapan saya dan saya tak fikir saya buat sesuatu yang salah,” katanya.

Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum. Ia tidak sesuai. Pihak kerajaan, sejak kita merdeka hingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum. Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

 ??  ??
 ?? [Foto Amirul Azmi /BH] ?? Dr Mahathir diiringi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, semalam.
[Foto Amirul Azmi /BH] Dr Mahathir diiringi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia