Berita Harian

Kenyataan Syed Saddiq isu Foodpanda pandangan peribadi: PM

-

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kenyataan balas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung kenyataan pengurusan syarikat perkhidmat­an penghantar­an makanan, Foodpanda Malaysia, adalah pandangan peribadi.

“Itu pendapat dia, dia tidak bincang dalam Kabinet langsung. Itu bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Syed Saddiq kelmarin yang menegaskan sesebuah syarikat boleh dijatuhkan oleh pekerja dan pengguna serta meminta masyarakat hanya menyokong syarikat yang adil kepada pekerja dan pengguna.

Syed Saddiq menerusi ciapan di Twitter sebagai reaksi kepada laporan kenyataan pengurusan Foodpanda menegaskan:

“Sebagai #Yangberkhi­dmat, saya dipilih oleh rakyat & boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunka­n oleh pekerja/pengguna, & boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesai­an. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja & pengguna.”

Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das, dilaporkan sebuah portal berita sebagai berkata, syarikat tidak berdepan masalah dengan mogok penghantar makanan terhadap skim pembayaran baharu mereka.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, kumpulan penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan skim baharu bayaran perkhidmat­an mereka yang berkuat kuasa sejak 30 September lalu.

Mengikut skim baharu bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhka­n, tetapi pada masa sama, bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Tindakan itu memberi kesan kepada penghantar makanan yang sebelum ini menerima bayaran RM4 sejam selain mendapat bayaran tambahan jika menghantar pesanan kepada pelanggan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia