Berita Harian

Syor penamaan calon dalam talian

Cadangan ERC bagi jimatkan kos pada pilihan raya akan datang

- Oleh Norhafzan Jaafar hafzan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jawatankua­sa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangk­an proses penamaan calon dilakukan secara dalam talian bagi menjimatka­n kos pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata tempoh pencalonan juga akan dipanjangk­an sehingga seminggu berbanding sejam yang ditetapkan sekarang.

Katanya, peraturan baharu itu jika dilaksanak­an kelak akan membolehka­n calon mendaftar secara ‘senyap-senyap’ terus ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya (RO) tanpa membabitka­n sebarang perarakan seperti kelaziman dalam kebanyakan proses pilihan raya yang berlangsun­g di negara ini.

“Proses pendaftara­n tidak lagi akan menjadi satu pesta politik yang menyaksika­n perarakan parti politik yang bertanding secara besar-besaran seperti mana yang berlaku sebelum ini.

“Kita tidak mahu lagi pembabitan orang awam kerana itu semua memerlukan kos yang tinggi dari segi kawalan keselamata­n yang membabitka­n pihak polis.

“Selama ini perarakan ketika hari pencalonan diadakan secara haram kerana polis tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana parti politik untuk berbuat demikian,” katanya dalam wawancara bersama NSTP di sini, semalam.

Abdul Rashid berkata, cadangan itu juga akan mengelak sebarang insiden atau kekecohan yang tidak diingini selain manipulasi oleh pihak tertentu bagi menghalang parti yang bakal bertanding menamakan calon mereka.

Katanya, selepas seminggu tempoh pencalonan berakhir, nama calon akan dipamerkan untuk memberi peluang kepada parti yang bertanding membuat bantahan.

Beliau berkata, ERC juga akan mengemukak­an satu undang-undang khusus bagi memastikan semua organisasi media bergerak bebas dan pada masa yang sama membuat liputan pilihan raya yang adil.

Katanya, undang-undang itu nanti diharapkan mampu menghalang media dijadikan alat berkempen oleh parti tertentu yang turut memiliki pengaruh terhadap pertubuhan media berkenaan.

“Dalam beberapa pilihan raya lalu kita tahu banyak media dimiliki parti politik tertentu dan mereka membuat liputan hanya berpihak kepada satu parti politik saja. Ini bermakna alat kerajaan digunakan untuk berkempen.

“Pilihan raya akan datang kita mahu lihat semua saluran media membuat liputan yang seimbang membabitka­n semua parti yang bertanding dan biar rakyat yang menentukan pilihan mereka,” katanya.

Proses pendaftara­n tidak lagi menjadi pesta politik yang menyaksika­n perarakan parti politik yang bertanding secara besar-besaran.

 ??  ?? Abdul Rashid Abdul Rahman,
Abdul Rashid Abdul Rahman,
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia