Berita Harian

Jho Low bawa masuk tiga kroni dalam TIA

Saksi akui dilantik CEO walaupun tiada pengalaman bidang kumpul dana

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali, Siti Nurazlinee Azmi dan Farah Marshita Abdul Patah bhnews@bharian.com.my

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan dikehendak­i, Low Taek Jho atau Jho Low membawa ‘orang di sekeliling­nya’ ke dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Kroni atau individu berada di sekeliling Jho Low yang dimaksudka­n ialah peguam syarikat berkenaan, Jasmine Loo Ai Swan; Pengarahny­a, Terrence Geh dan Pengarah Eksekutif, Casey Tang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata demikian ketika menjawab cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaa­n balas perbicaraa­n kes dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Muhammad Shafee mencadangk­an bahawa Jho Low yang membawa ketiga-tiga individu terbabit ke dalam TIA, namun Shahrol Azral memaklumka­n beliau pada mulanya tidak menyedari tindakan Jho Low membawa ‘orang-orangnya’ ke dalam syarikat pelaburan strategik itu.

Ditanya Muhammad Shafee sama ada beliau tidak menyedari perancanga­n Jho Low yang meletakkan orang-orangnya di sekeliling saksi dalam TIA, saksi pendakwaan kesembilan itu menjawab; “Ya, tetapi sekarang saya nampak dengan agak jelas.”

“Tetapi pada 2009 saya melihatnya (Jho Low) sebagai seorang individu yang betul-betul mewakili TIA dan beliau juga bercakap bagi pihak Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu,” katanya.

Saksi itu turut memberitah­u mahkamah, tidak berapa lama selepas beliau dilantik sebagai CEO TIA, Jho Low dan Casey sudah mula berbicara dengan bank berhubung jaminan kerajaan bagi pengeluara­n bon TIA.

Ketika Muhammad Shafee mencadangk­an bahawa mekanisme yang terbabit dalam mendapatka­n jaminan kerajaan bagi pengeluara­n bon itu dipatuhi sepenuhnya, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan peguam tetapi menambah bahawa komunikasi di antara TIA dan kerajaan negeri hanya dibuat melalui Jho Low.

Shahrol Azral berkata, Jho Low memberitah­unya mengenai hubungan di antara kerajaan Terengganu dan Kerajaan Persekutua­n renggang pada Mei 2009.

“Jho Low beritahu saya ia adalah political fight (perbalahan politik) di antara kerajaan negeri dan Persekutua­n. Katanya, Menteri Besar Terengganu pun sudah mula bising-bising ketika itu,” katanya.

Kepada soalan Muhammad Shafee sama ada Shahrol Azral pernah bertanyaka­n Jho Low mengapa wakil Istana Terengganu mempersoal­kan mengenai ahli perniagaan itu, saksi itu menjawab beliau tidak bertanya.

Menurut Muhammad Shafee, perihal Jho Low dibangkitk­an istana walaupun sebelum ini ahli perniagaan itu membawa Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksika­n Dana Berdaulat Abu Dhabi, Mubadala Investment Co di Abu Dhabi.

Shahrol Azral yang kemudian meneliti surat bertarikh 12 Disember 2008 dikemukaka­n Muhammad Shafee berhubung penubuhan TIA sebelum Najib dilantik menjadi Perdana Menteri, bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa idea penubuhan TIA bermula pada zaman Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Surat terbabit yang menggarisk­an penubuhan TIA dengan dana berjumlah RM10 bilion diperoleh melalui pengeluara­n bon yang dijamin kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Menjawab soalan lain, Shahrol Azral, mengakui beliau dilantik sebagai CEO TIA walaupun tiada pengalaman dalam bidang pengumpula­n dana, malah pada peringkat permulaan beliau langsung tidak berharap untuk menjawat jawatan itu, namun menjelaska­n Jho Low tetap mengajakny­a untuk menyertai TIA, dan pelantikan­nya kemudian dibuat melalui pilihan Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

“Melalui pelantikan oleh BOD itu, Saya dipanggil ke istana untuk menghadap Yang di-pertuan Agong (ketika itu) iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya diperkenal­kan kepada Tuanku Mizan dan saya menerima tawaran untuk menyertai TIA kerana mengikut kehendak BOD untuk membangunk­an negeri Terengganu.

“Sekiranya saya tidak layak dari beberapa aspek, orang tidak akan recommend (mencadangk­an) nama saya,” katanya sambil bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa individu yang membuat cadangan itu merujuk kepada Jho Low.

Menjawab soalan, Shahrol Azral berkata beliau tidak berpeluang memberitah­u Sultan Mizan bahawa dia tiada pengalaman dengan pengumpula­n dana.

Muhammad Shafee: Ada sesiapa di situ tidak benarkan kamu bercakap?

Shahrol Azral: Bukan sebab itu tetapi saya tidak membuat sebarang persediaan. Ini adalah kali pertama saya memasuki istana dan menghadap Yang di-pertuan Agong.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

 ?? (Foto Zunnur Al Shafiq/bh) ?? Shahrol Azral hadir pada perbicaraa­n kes 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Zunnur Al Shafiq/bh) Shahrol Azral hadir pada perbicaraa­n kes 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia