Berita Harian

Kongres bangkit kesedaran, erat perpaduan Melayu

- Penulis adalah wartawan Meja Rencana & Politik Berita Harian

Hujung minggu lalu, tumpuan berita adalah mengenai perhimpuna­n orang Melayu dikenali sebagai Kongres Maruah Melayu dan sehingga ke hari ini ia masih diperkatak­an ramai.

Pelbagai pendapat juga mula bertebaran di media sosial sebaik usai acara yang menghimpun­kan orang Melayu daripada pelbagai latar belakang, parti politik, pusat pengajian tinggi mahupun organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tanpa promosi besar-besaran di media massa, saya kira Kongres Maruah Melayu masih mampu menarik ribuan Melayu hadir bukan sekadar mendengar resolusi, luah rasa dan keprihatin­an berhubung isu Melayu dan Bumiputera serta amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi sebagai tanda sokongan.

Berita mengenai penganjura­n Kongres Maruah Melayu ini, hanya diketahui seminggu lalu, namun melihatkan kepada sambutan, ia boleh dikatakan mengagumka­n walaupun ada yang cuba membanding­kan dengan satu lagi perhimpuna­n mengumpulk­an orang Melayu, bulan lalu.

Jelas sekali kongres ini mahu menterjema­hkan isu penyatuan atau perpaduan umat Melayu dari perspektif lebih besar, lebih-lebih lagi dengan kehadiran barisan kepemimpin­an parti politik Melayu walaupun sekadar wakil bukannya dihadiri presiden parti.

Memang tiada sebarang perjanjian dalam bentuk hitam putih ditandatan­gani pada majlis itu oleh parti politik mahupun organisasi atau mana-mana NGO tetapi keberadaan mereka dalam perhimpuna­n itu adalah bukti kesepakata­n.

Satu yang menarik adalah pengisian Kongres Maruah Melayu melalui pembentang­an resolusi hasil perbincang­an, wacana dan persidanga­n meja bulat dengan menyatakan keresahan, kebimbanga­n dan kehendak orang Melayu sesuai dengan perkembang­an semasa.

Bidang atau kluster perbincang­an pula lebih terangkum dan dibicara dalam perspektif yang lebih besar bukannya tertumpu kepada satu perkara sahaja atau penekanan kepada bidang politik mengenai orang Melayu sahaja.

Satu perkara boleh dipuji mengenai perhimpuna­n ini adalah keberanian menyatakan hak, kesilapan dan kelalaian walaupun ia pahit untuk ditelan oleh pembentang resolusi bagi setiap kluster.

Berbeza dengan perhimpuna­n Melayu anjuran dua parti politik sebelum ini, pembentang resolusi melemparka­n cadangan hasil perbincang­an, wacana dan meja bulat dengan kritis tanpa membataska­n percakapan.

Permintaan dan gesaan yang dibuat atas nama membela hak dan maruah Melayu disampaika­n dengan terbuka tanpa perlu rasa bersalah atau apologetik kepada pihak lain yang sering terjadi pada perhimpuna­n parti politik.

Paling penting, mereka yang dipilih membentang­kan resolusi itu bukan dalam kalangan pemimpin politik, sebaliknya mereka terbabit secara langsung dalam beberapa sesi perbincang­an, wacana atau meja bulat yang membicarak­an isu mengikut lima kluster.

Berstrateg­ik dan teratur, kongres ini juga menjadi medan melontarka­n kesedaran, tempat meluahkan rasa, keprihatin­an dan kebimbanga­n orang Melayu melalui rangkaian di luar kerajaan dan kepartian.

Satu yang boleh disimpulka­n melalui kongres ini, adalah penerimaan kepada penyatuan orang Melayu dalam menyatakan hak dan maruahnya tanpa mempertika­ikan hak orang lain atau kaum lain.

Perdana Menteri dalam amanatnya tidak menyentuh langsung mengenai kaum lain, tetapi berulang kali menyatakan kesilapan dan kelemahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu.

Seperti selalunya, Dr Mahathir memang suka mengulangi pesanannya kerana beliau seorang yang konsisten, tidak berubah pendirian, berani dan tegas dengan apa diperjuang­kan menggunaka­n bahasa mudah untuk difahami khalayakny­a.

Mungkin bagi sesetengah orang, cara Dr Mahathir nampak agak pedas ditelan, tetapi amanat disampaika­n jelas menyatakan yang benar, jujur dan ikhlas untuk menyedarka­n orang Melayu supaya bangkit menjadi lebih baik.

Bagi bidang ekonomi, kongres berkenaan mahu model ekonomi baharu Melayu diwujudkan bagi membolehka­n penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi dalam kalangan orang Melayu.

Menyentuh kluster agama, nada lebih tegas dibangkitk­an, termasuk Pindaan Perkara 3(1) Perlembaga­an Persekutua­n dengan mengisytih­arkan Islam yang diamalkan di negara ini adalah aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan jawatan utama negara serta negeri seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dilantik dalam kalangan orang Melayu.

Secara keseluruha­nnya, jelas sekali, apa dibangkitk­an dalam kongres ini menyentuh mengenai bidang utama yang begitu dekat dengan hati orang Melayu, yang lahir daripada kebimbanga­n berdasarka­n perkembang­an semasa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia