Berita Harian

Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dibentang

-

Kuala Lumpur: Kerajaan semalam membentang­kan Rang Undang-undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Pembentang­an dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Sementara itu, Vui Keong dalam satu kenyataan berkata, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional adalah satu inisiatif di bawah Pelan Anti-rasuah Kebangsaan 2019-2023 dengan tujuan utamanya bagi menjalanka­n operasi bersepadu dalam menangani jenayah kewangan dan mengekang ketirisan.

Beliau berkata, tujuan dan fungsi utama pusat berkenaan adalah menyelaras­kan usaha sekurang-kurangnya 12 agensi penguatkua­saan sedia ada, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memerangi dan mencegah jenayah kewangan di persada domestik dan antarabang­sa.

“Pusat ini akan bertindak sebagai penyelaras operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa undang-undang dan bukanlah sebuah agensi penguat kuasa yang baharu dan tidak mempunyai kuasa siasatan,” katanya.

Vui Keong berkata, pusat itu juga tidak akan menghakis, memansuh atau menyingkir fungsi atau kuasa agensi penguat kuasa sedia ada.

Sementara itu, berdasarka­n buku RUU berkenaan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional akan diketuai Ketua Pengarah dan dibantu seorang timbalan yang dilantik Yang di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Satu Lembaga Penasihat akan ditubuhkan terdiri daripada seorang Pengerusi, Ketua Pengarah dan tidak lebih lima anggota, yang juga dilantik Yang di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Selain itu, pusat itu juga perlu menubuhkan, mentadbir, menyelengg­ara dan menguruska­n satu data berpusat yang mengandung­i maklumat yang diterima berhubung jenayah kewangan, bagi merancang dan menyelaras operasi bersepadu serta mencegah jenayah kewangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia