Berita Harian

Pembelian hotel atasi nilai semasa

Pemilikan MPHS menyumbang kerugian tidak disedari RM82.5 juta kepada FICSB

- Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar fatin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam diberitahu pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, berjumlah RM160 juta oleh Felda Investment Corporatio­n Sdn Bhd (FICSB), jauh lebih mahal daripada nilai semasa yang dianggarka­n RM80 juta pada 2017.

Pemangku Ketua Pegawai Kewangan FELDA, Azlan Mohamed Ismail, 51, memaklumka­n perkara itu kepada Mahkamah Tinggi, di sini, yang mendengar perbicaraa­n terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, berhubung satu kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapiny­a, lima tahun lalu.

Azlan berkata, pada 2017 pihak Lembaga Pengarah FICSB iaitu anak syarikat FELDA mengarahka­n satu penilaian semula dibuat oleh Syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd.

“Penilaian dilakukan itu mendapati berlaku sorot nilai pembelian MPHS menyumbang kepada kerugian tidak disedari berjumlah RM82.5 juta kepada FICSB,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di hadapan Hakim Mohd Nazlan Ghazali.

Azlan berkata, satu tender bagi penjualan MPHS dibuat oleh Saville Malaysia Sdn Bhd pada 2018 dan dua tawaran pembelian diterima dengan harga dianggarka­n pada RM69 juta dan RM85 juta.

“Bagaimanap­un, tawaran pembelian RM85 juta ditarik balik, manakala tawaran RM69 juta dinaikkan kepada RM77.5 juta,” katanya.

Dalam keterangan­nya, Azlan berkata kerugian tidak disedari dinyatakan dalam Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2016 dan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018.

“Ahli Lembaga FICSB bagaimanap­un mengarahka­n hotel itu dinilai semula. Ia dibuat Pengerusi FELDA sebelum ini, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan sembilan pengarah yang baru dilantik.

“Sembilan pengarah itu tidak termasuk Mohd Isa.

“Pun begitu, saya tidak pasti Ahli Lembaga FICSB yang membuat keputusan untuk membeli MPSH kerana tak hadiri dalam mesyuarat ini,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding sama bekas Pengarah Kewangan FELDA, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, memberitah­u Jabatan Kewangan FELDA tidak mengetahui pembelian MPHS oleh FICSB bernilai RM160 juta sebenarnya tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Mohd Shahrin berkata, surat permohonan daripada FICSB untuk mendapatka­n wang pendahulua­n RM1 juta dan RM1. 88 juta bagi pembelian hotel itu tidak dinyatakan mengenai kelulusan pembelian hotel itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu yang kini bertugas sebagai Pengarah Unit Transforma­si FELDA, berkata FICSB perlu mendapatka­n kelulusan untuk pembelian atau pelaburan itu.

“Walaupun pendahulua­n diberikan, masih perlu dapatkan kelulusan kerana ia dua perkara berbeza. Kelulusan untuk pembelian (hotel) dan kedua adalah kelulusan pendahulua­n pinjaman.

“Jabatan Kewangan FELDA tidak akan meluluskan pembayaran pendahulua­n itu kepada FICSB sekiranya tahu pembelian hotel itu tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FELDA,” katanya.

Katanya, mengikut amalan di Jabatan Kewangan FELDA, jika kelulusan tidak diperoleh, kebiasaann­ya ahli lembaga akan bincang dengan pengurusan sebelum dirujuk kepada Pengarah Besar FELDA atau timbalanny­a.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporatio­n (FIC) Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

 ?? (Foto Zunnur Al Shafiq /BH) ?? Isa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Zunnur Al Shafiq /BH) Isa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia