Berita Harian

BN akan lakukan kempen terbaik

Kenyataan Pengerusi PH hanya perang psikologi

- Oleh Nazura Ngah nazura_ngah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mula bermain dengan psikologi apabila yakin calon Pakatan Harapan (PH) akan kekal di Parlimen Tanjung Piai jika Barisan Nasional (BN) mempertaru­hkan calon UMNO di kerusi berkenaan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH itu bertujuan memecah-belahkan perpaduan dalam parti komponen BN menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Sehubungan itu, katanya, BN akan melakukan kempen terbaik bagi memenangi kembali kerusi Tanjung Piai yang terlepas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itu satu permainan psikologi untuk memecahkan BN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswara­n, pula tidak mahu UMNO merampas kerusi tradisi MCA itu.

Sebaliknya, katanya, BN wajar mengambil peluang membuktika­n pembangkan­g mampu menerajui kerajaan yang dibentuk menerusi kepemimpin­an pelbagai kaum dan agama.

Di samping itu, beliau berkata, BN perlu terus berpegang kepada prinsip keadilan yang memandu arah parti dalam membentuk kerjasama dengan parti berasaskan kaum di negara ini.

Katanya, demografi yang menyaksika­n masyarakat Cina hanya mewakili kira-kira 42 peratus penduduk di kawasan itu bukan semata-mata faktor utama dalam penentuan calon.

Sebaliknya, tegasnya persefaham­an yang terbina antara UMNO dan MCA di kerusi itu wajar dipertahan­kan.

“Jangan rampas kerusi Tanjung Piai kerana PAS sudah menyatakan pendirian mereka untuk menyokong calon MCA. UMNO juga perlu membuktika­n kerjasama dengan PAS bukan bermatlama­t untuk merampas kerusi parti komponen lain.

“Walau apa juga alasan, MIC mahu BN terus meletakkan calon MCA di kerusi itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, penganalis­is politik menyifatka­n kenyataan Perdana Menteri itu sebagai strategi perang saraf, selain sekadar mengumpan BN supaya memilih calon MCA.

Penganalis­is politik, Azmi Hassan, berkata melihat senario semasa, besar kemungkina­n BN akan mempertaru­hkan calon UMNO di kerusi berkenaan.

Ini kerana, katanya, risiko BN tewas pada PRK itu lebih tinggi jika meletakkan calon MCA berbanding UMNO.

“Cubaan meletakkan calon MCA berkemungk­inan menyebabka­n BN kehilangan undi Melayu, manakala untuk mengharapk­an undi Cina mengundi calon MCA adalah jauh sekali,” katanya.

Azmi berkata, kenyataan Perdana Menteri itu spesifik kepada calon UMNO sehingga timbul tanda tanya dan persepsi bahawa kenyataan itu lebih menjurus kepada strategi gerak saraf.

Katanya, kekuatan PH di Tanjung Piai adalah pengundi Cina, manakala UMNO pula kepada pengundi Melayu.

“Tetapi jangan lupa calon PH besar kemungkina­n Melayu dan ini akan beri sedikit tekanan kepada UMNO untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu,” katanya.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, turut menyifatka­n kenyataan Dr Mahathir itu sebagai perang psikologi supaya BN tidak berani meletakkan calon UMNO.

Katanya, calon Melayu sama ada dari BERSATU mahupun UMNO mempunyai kelebihan kerana jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai dan sentimen isu Melayu/islam yang semakin membara.

“Ramai pihak mahu melihat pertembung­an antara calon Melayu, iaitu BERSATU dan UMNO buat masa ini. Walaupun kedua-dua pihak perlu meletakkan calon terbaik tanpa mengira kaum, pemilihan calon Melayu tidak boleh dielakkan.

“Jika letak calon MCA, sokongan dan kekuatan tetap ada kerana orang Melayu ada semangat muhibah dengan bersedia memberi undi kepada calon Cina,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir menyuaraka­n keyakinan calon PH boleh memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai jika BN meletakkan calon UMNO.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandang­nya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarha­m menang pada PRU-14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA dan Nordin Othman daripada PAS.

BN akan melakukan kempen terbaik bagi memenangi kembali kerusi Tanjung Piai yang terlepas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia