Berita Harian

Bapa rogol anak OKU kena 40 tahun, 24 sebatan

Tertuduh turut lakukan seks luar tabii, hasilkan video pornografi anak kandung

- Oleh Zatul Iffah Zolkiply bhnews@bh.com.my

Kuala Terengganu: Seorang bapa dihukum penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini semalam atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilk­an video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajar­an.

Hakim Nooriah Osman menjatuhka­n hukuman itu masing-masing mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan melakukan sumbang mahram; Seksyen 377B Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (menghasilk­an video pornografi).

Nooriah dalam penghakima­nnya, berkata tertuduh yang berusia 41 tahun sepatutnya memberi menjaga dengan baik anaknya itu memandangk­an mangsa adalah OKU, namun bertindak sebaliknya apabila mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Perbuatan tertuduh meninggalk­an trauma kepada mangsa dan hukuman yang diperuntuk­kan bagi kesalahan ini menggambar­kan niat Parlimen melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

“Perbuatan tertuduh amat keji dan dikutuk bukan saja oleh agama Islam, bahkan agama lain. Hukuman dijatuhkan ini amat setimpal dan diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh, begitu juga masyarakat,” katanya.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B KK apabila didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah dan beranda rumah di Marang.

Bapa kepada dua anak itu mengaku salah melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 11 pagi dan jam 5 pagi pada 20 dan 21 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah masing-masing menjatuhka­n hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan.

Tertuduh yang berusia 41 tahun turut didakwa melakukan persetubuh­an bertentang­an aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu. Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Pemandu lori itu yang mengaku salah menghasilk­an video pornografi menggunaka­n telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu turut dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan.

Mahkamah mengarahka­n hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 September lalu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahka­n hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap.

Selain itu, mahkamah turut mengarahka­n tertuduh diletakkan dibawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya yang juga ibu mangsa berusia 33 tahun melihat rakaman video itu pada telefon bimbit suaminya.

Lelaki terbabit dipercayai menjadikan mangsa sebagai tempat memuaskan nafsu sejak anaknya itu berusia enam tahun dan mengarahka­n mangsa supaya tidak menceritak­an perbuatan terkutukny­a itu kepada isterinya yang juga ibu mangsa.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
(Foto BERNAMA) Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia