Berita Harian

PRG dapat kelulusan beli ladang kayu jati RM89.2 juta

-

Kumpulan hartanah dan pembinaan, PRG Holdings Bhd mendapat kelulusan pemegang sahamnya pada mesyuarat agung luar biasa untuk membeli dua ladang pokok kayu jati bernilai RM89.2 juta oleh anak syarikat milik penuh kumpulan itu, PRG Agro Sdn Bhd.

Bidang tanah pertama di Jajahan Gua Musang, Kelantan, seluas 137 hektar, adalah tanah pertanian dengan tempoh pegangan pajak 50 tahun berakhir pada 21 Jun 2053, manakala bidang tanah kedua di Jajahan Kecil Lojing, Kelantan seluas 227.79 hektar juga mempunyai pegangan pajak 50 tahun dan akan berakhir pada 7 Ogos 2066.

Pembelian daripada Alifya Forestry Sdn Bhd yang dijangka selesai pada akhir Disember 2019 itu adalah bertujuan untuk mempelbaga­ikan dan mengukuhka­n asas hasil, kata PRG dalam satu kenyataan, semalam.

“Prestasi kewangan Kumpulan PRG tidak menentu disebabkan penurunan jualan produk tekstil elastik dan webing serta kelembapan pembanguna­n hartanah dan industri pembinaan di Malaysia.

“(Oleh itu), lembaga berpendapa­t cadangan pembelian itu akan menyediaka­n peluang kepada Kumpulan PRG untuk mengembang­kan hasil dan keuntungan menerusi pembalakan pokok kayu jati yang telah pun ditanam di tanah berkenaan,” kata syarikat itu.

Pembelian itu akan dibayar menerusi gabungan tunai sebanyak RM59.2 juta dan terbitan saham 40.29 juta pada harga terbitan RM0.7445 setiap satu berjumlah RM30 juta. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia