Berita Harian

Taburan hujan 4 negeri dijangka meningkat

Musim Monsun Timur Laut bermula awal November hingga Januari depan

-

Kuala Lumpur: Tiga negeri di Pantai Timur Semenanjun­g dan Johor dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan, berikutan kedatangan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a), Jailan Simon, berkata ketika monsun berlaku, negeri berkenaan dijangka menerima peningkata­n jumlah hujan sehingga 40 peratus.

“Monsun Timur Laut berlaku antara November hingga Mac. Biasanya, hujan akan bermula di Kelantan dan Terengganu pada November hingga Disember.

“Lazimnya, secara purata ketika monsun kedua negeri ini menerima hujan antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan biasa hanya 200 hingga 300mm.

“Bagi Pahang dan Johor, kita meramalkan hujan lebat pada Disember hingga Januari yang mana biasanya pada musim monsun, kedua-dua negeri ini akan menerima hujan antara 200 hingga 600mm, berbanding bulan biasa hanya 150 hingga 300mm,” katanya kepada BERNAMA, semalam.

Jailan berkata, hujan lebat dijangka berlaku di Sarawak pada Januari hingga Februari dengan pertambaha­n jumlah hujan daripada 200 hingga 400mm sebulan pada bulan biasa kepada 300 hingga 700mm sebulan pada musim tengkujuh.

Bagaimanap­un, Jailan berkata, buat masa ini pihaknya tidak menjangkak­an hujan luar biasa yang boleh menyebabka­n banjir besar.

“Setakat ini kita hanya meramalkan hujan lebat yang lazim berlaku pada musim monsun. Kita tak jangka berlaku hujan luar biasa seperti 2014. Bagaimanap­un, kita akan sentiasa membuat pemantauan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran dikeluarka­n pihaknya dan pihak berkuasa lain.

“Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, saya nasihatkan mereka bersiap sedia lebih awal dengan memastikan segala dokumen disimpan di tempat yang selamat dan mudah diambil sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya kini dalam proses memperting­katkan kesiapsiag­aan termasuk aset dan keanggotaa­n mereka bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, JBPM kini berada pada tahap 75 peratus dalam memastikan asetnya berfungsi manakala lebih 80 peratus daripada kira-kira 10,500 anggota bomba di seluruh negara bersiap sedia.

“Dari segi keanggotaa­n memang JBPM bersiap-siaga 24 jam tujuh hari seminggu dari segi akses dan logistik penyelamat­an, termasuk bot-bot di setiap lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Kenderaan utiliti dan pengangkut­an termasuk peralatan mencari serta menyelamat seluruh negara kita minta supaya berada dalam keadaan baik dan diselengga­ra pada peringkat ini,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya terus menyelaras­kan tindakan dengan agensi seperti Metmalaysi­a dan Jabatan Pengaliran dan Saliran, untuk memberi maklumat berguna serta respon kecemasan yang membabitka­n kenaikan paras air dan hujan berlebihan.

Setakat ini, pihaknya belum membekukan cuti anggota tetapi akan berbuat demikian jika keadaan banjir kritikal.

BERNAMA

Setakat ini kita hanya meramalkan hujan lebat yang lazim berlaku pada musim monsun. Kita tak jangka berlaku hujan luar biasa seperti 2014.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia