Berita Harian

78,546.71kg sisa buangan kitar semula dikumpul

-

Subang Jaya: Sebanyak 78,546.71 kilogram sisa buangan dikitar semula dikumpul menerusi Kempen Kitar Semula F&N dan MPSJ 2019 berakhir Ogos lalu, yang diadakan di kawasan pentadbira­n Majlis Perbandara­n Subang Jaya (MPSJ).

Menerusi program anjuran MPSJ bersama Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan Tetra Pak (M) Sdn Bhd, sebanyak 47 sekolah dalam kawasan pentadbira­n pihak berkuasa tempatan itu mengambil bahagian sejak 1 Mac lalu.

Tahun lalu, pihak berkenaan mengadakan kempen yang sama, dengan disertai 29 sekolah. Sebanyak 18,328.12 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpul.

Ia sebahagian daripada usaha MPSJ untuk menjadi sebuah perbandara­n yang lebih mampan, selain membina masa depan bandar tanpa sisa buangan.

Berucap pada majlis penyampaia­n hadiah kempen itu di sini, semalam, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, berkata kempen membabitka­n kerjasama sektor awam dan swasta itu bertujuan untuk mendidik murid sekolah mengenai cara yang betul mengitar semula bahan buangan.

Kempen itu berdasarka­n falsafah 5R iaitu kurangkan (reduce), guna semula (reuse), kitar semua (recycle), fikir semula (rethink) dan cipta semula (reinvent).

“Kempen ini bagi meningkatk­an kesedaran sivik pelajar untuk mengubah budaya dalam menguruska­n sisa buangan pepejal,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali; Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, Cariessa Goh dan Pengurus Pemasaran Tetra Pak Malaysia, Sharon Ong.

Menerusi kempen itu, sekolah yang mengambil bahagian bersaing sesama sendiri untuk mengumpul sebanyak mungkin bahan kitar semula.

Kempen itu juga menggalakk­an murid untuk menggunaka­n kreativiti dan daya imaginasi untuk mereka cipta poster 3D dengan menggunaka­n bahan kitar semula.

Goh berkata, kempen bertujuan menggalakk­an murid untuk mengitar semula dan memupuk gaya hidup mesra alam sejak usia muda selain mendorong mereka agar prihatin terhadap keadaan alam sekitar.

“F&N komited untuk meningkatk­an kesedaran awam terhadap perlindung­an alam sekitar terutama dalam kalangan murid untuk membina masa depan yang lebih selamat, hijau dan sihat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia