Berita Harian

‘Jangan lupakan kami’

Penduduk harap kerajaan tambah peruntukan bina tembok penghalang ombak

- Oleh Hassan Omar bhnews@bh.com.my

Alor Gajah: “Jangan melupakan kami. Penduduk sangat berharap kerajaan negeri menambah peruntukan bagi membina tembok penghalang ombak di kampung kami yang terjejas teruk sejak hakisan pantai berlaku pada Ogos lalu.”

Demikian rintihan nelayan, Azlan Idris, 58, yang rumahnya antara kediaman mengalami kerosakan akibat hakisan pantai di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, dekat sini.

“Kerosakan rumah kami sudah semakin teruk disebabkan masalah itu. Kami tidak sanggup kehilangan tempat tinggal, apatah lagi berpindah ke tempat lain,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Bagaimanap­un, Azlan mendakwa pihaknya hairan berikutan kampung itu tidak disenaraik­an sebagai antara yang bakal disediakan tembok penghalang ombak melalui kaedah pembinaan batu lapis lindung sebagaiman­a diumumkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah, minggu lalu.

Beliau berkata, JPS wajar turut menyenarai­kan Kampung Balik Batu bagi pembinaan tembok berkenaan, malah mendakwa hakisan pantai turut menyebabka­n sebahagian dapur kediamanny­a roboh.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hakim sebagai berkata, kerajaan negeri memperuntu­kkan RM3 juta kepada jabatan itu bagi melaksanak­an segera pembinaan tembok lapis lindung.

Ia bertujuan mengatasi masalah hakisan pantai yang serius di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru; Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi; dan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Abdul Hakim dipetik sebagai berkata, tawaran tender akan dibuat tidak lama lagi dalam usaha membantu menyelamat­kan pantai, pangkalan nelayan dan kediaman penduduk terbabit, namun Kampung Balik Batu yang turut terjejas perlu menunggu peruntukan lain.

Jiran Azlan, Abdul Rahman Daud, 59, mendakwa terpaksa menanggung kos menyewa jentera pengorek untuk mengangkut batu besar serta diletakkan di bahagian dapur bagi mengelakka­n rumahnya roboh akibat hakisan pantai.

“Jentera itu mengangkut batu besar 100 meter dari rumah saya untuk dijadikan benteng penahan ombak.

“Justeru, saya merayu kerajaan negeri memberi peruntukan tambahan kepada JPS bagi membolehka­n Kampung Balik Batu turut menerima projek pembinaan tembok penahan ombak,” katanya.

Beliau menegaskan, masalah hakisan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana semakin serius sehingga mengancam keselamata­n penduduk, terutama rumah di tepi pantai.

Sementara itu, Abdul Hakim ketika dihubungi berkata, beliau ada mendapat maklum balas secara lisan daripada pihak tertentu dalam kerajaan negeri yang memberi isyarat positif berhubung peruntukan bagi membina struktur binaan sama di Kampung Balik Batu.

“Saya tidak berani berjanji tetapi memang ada maklum balas positif secara lisan. Saya berharap penduduk kampung itu bersabar sementara menunggu maklum balas yang muktamad,” katanya.

Kerosakan rumah kami sudah semakin teruk. Kami tidak sanggup kehilangan tempat tinggal, apatah lagi berpindah ke tempat lain.

 ?? (Foto Hassan Omar/bh) ?? Azlan (kiri) dan rakannya membina benteng pasir bagi menahan ombak yang menyebabka­n hakisan pantai di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.
(Foto Hassan Omar/bh) Azlan (kiri) dan rakannya membina benteng pasir bagi menahan ombak yang menyebabka­n hakisan pantai di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia