Berita Harian

Pakaian sukan, jam tangan tiruan dirampas

-

Kuala Lumpur: Pakaian sukan dan jam tangan disyaki berjenama tiruan yang dianggarka­n bernilai RM664,000, dirampas dalam serbuan di tiga premis kediaman di bahagian atas bangunan pusat beli-belah di Lorong Haji Taib, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur serta Selangor, pada jam 12 tengah hari.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari, berkata barangan berkenaan menggunaka­n perihal dagangan palsu jenama Adidas, Nike, Puma dan Under Armour, selain dua jenama tempatan Abstrax serta Al-ikhsan.

“Kita merampas sebanyak 13,203 unit barang disyaki tiruan dengan jumlah keseluruha­n dianggarka­n bernilai lebih RM600,000.

“Selain itu, kita menahan tiga individu membabitka­n dua wanita dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga ketiga-tiga premis itu,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Suhaimi berkata, sindiket terbabit dipercayai meraih keuntungan lebih 100 peratus hasil jualan barangan disyaki tiruan terbabit.

“Barangan disyaki tiruan seperti pakaian sukan ini dijual pada harga RM50 berbanding harga RM100 hingga RM200 bagi barangan tulen.

“Kita juga akan mengenal pasti pemilik ketiga-tiga premis yang disewakan ini. Jika mereka didapati terbabit dalam kegiatan ini, kita akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, bekalan barangan disyaki tiruan berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu membekal atau menawarkan atau mendedah untuk pembekalan atau dalam milikan, jagaan atau kawalannya apa-apa barangan yang menggunaka­n perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar.

Suhaimi berkata, sebanyak 103 kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 direkodkan KPDNHEP di ibu kota sejak Januari lalu hingga semalam.

“Setakat ini, 31 individu ditahan membabitka­n lapan warga tempatan dan 23 warga asing. Daripada 103 kes direkodkan bawah Akta Perihal Dagangan 2011, sebanyak 74,990 unit barangan disita bernilai RM2,637,182.

“Kami memberi amaran keras kepada individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitka­n penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia