Berita Harian

Urus wasiat, pembahagia­n harta sebelum mati

- Oleh Latifah Arifin latifah @bh.com.my

Konflik mengendali dan menguruska­n harta pusaka dalam keluarga Muslim boleh dielakkan jika mengikut ketetapan dan saranan dalam agama.

Konflik tercetus akibat tidak merancang dan memikirkan apa yang berlaku pada masa akan datang, termasuk membabitka­n kematian sehingga mencetuska­n pelbagai permasalah­an keluarga.

Malah, perpecahan dan perbalahan berlaku sehingga ada yang membawa kepada perkara buruk. Banyak kes amat menyedihka­n berlaku antaranya ibu bapa yang masih hidup, tetapi hilang rumah kerana hak miliknya dipindahka­n kepada anak.

Ia dilakukan atas dasar mengasihi anak dan tidak mahu mereka hidup susah, tetapi ada yang mengambil kesempatan terhadap niat baik ibu bapa dan akibat hasutan pihak ketiga.

Ada juga kes isteri dipaksa oleh keluarga mentua keluar dari rumah yang dibeli hasil harta sepencaria­n selepas suami meninggal. Ini antara senario yang sering terjadi kerana kurang celik pengurusan harta pusaka yang selari dengan anjuran syarak.

Kebanyakan masalah harta pusaka berpunca daripada perebutan dan kelemahan mengenal pasti siapa pewaris berpotensi untuk melakukan tuntutan.

Pendakwah dan perunding kewangan Islam, Shahril Ibnu Mohamad, berkata ramai tidak tahu dan gagal mengenal pasti siapa waris faraid dalam agihan pusaka sedangkan urusan itu boleh dilakukan ketika masih hidup.

“Ada bertanggap­an mempunyai anak lelaki sudah cukup selamat dan harta tidak akan jatuh ke tangan orang lain.

“Sebenarnya terdapat kira-kira 25 waris terdekat yang boleh menuntut harta pusaka termasuk ibu bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan dalam pelbagai situasi.

“Bahkan, ia boleh diwarisi cucu lelaki daripada anak lelaki, adik beradik seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa, nenek sebelah bapa dan cucu perempuan daripada anak lelaki,” katanya.

Shahril yang juga Mudir Institut Tahfiz Al-quran Lil Muttaqin berkata, ramai umat Islam beranggapa­n tidak akan ada isu membabitka­n harta pusaka jika sudah diwasiatka­n sebelum meninggal dunia.

“Biasanya, perebutan berlaku kerana ada individu dalam kalangan waris yang terdesak memerlukan harta.

“Pemahaman ramai antara kita, ibu bapa cukup untuk meninggalk­an wasiat kepada anak bagi memelihara kebajikan mereka.

“Perlu diingat, kita bukan lagi hidup pada zaman imam dan siak masjid menjadi saksi tanpa sebarang dokumentas­i,” katanya.

Menurut Shahril, wasiat lisan akan terbatal secara automatik jika tidak ada persefaham­an atau permuafaka­tan dalam keluarga.

“Umat Islam tidak tertakluk dengan Akta Wasiat 1959, malangnya masih ramai yang kurang peka dan tidak sedar mengenainy­a.

“Wasiat terbatal akan kembali kepada sistem pewarisan faraid dan sebahagian harta itu akan pergi kepada adik-beradik lelaki sebelah suami,” katanya.

Beliau berkata, pembahagia­n harta dengan menggunaka­n instrumen wasiat dibolehkan, cuma terdapat klausa dalam surat perjanjian yang boleh mengakibat­kan pembatalan­nya secara automatik.

“Tiada masalah melakukan wasiat, namun dalam klausa perjanjian wasiat ada menyebut ia hanya akan terpakai dan boleh dilaksanak­an selepas kematian sekiranya mendapat persetujua­n dan keredaan semua waris.

“Jika tidak mendapat persetujua­n waris, pembahagia­n dan pelaksanaa­n mesti mengikut sistem faraid. Maka, apa yang boleh difahami di sini, sejauh mana kita boleh memastikan waris akan bersetuju dan reda dengan pembahagia­n yang dilakukan mengikut kaedah wasiat,” katanya.

Menurut beliau, statistik harta beku umat Islam menunjukka­n puluhan bilion ringgit tidak dapat dimanfaatk­an.

“Sebagai amil zakat saya melihat betapa zalimnya kita kerana harta sepatutnya boleh diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan pelbagai maslahah umat Islam tidak dapat dilaksanak­an,” katanya.

Shahril berkata, amat penting untuk masyarakat menguasai aspek pengurusan harta pusaka kerana ia sangat kompleks untuk difahami secara teori dan praktikal.

Bagaimanap­un, ilmu pewarisan Islam wajib difahami supaya setiap yang masih hidup tidak termakan harta yang batil.

“Perkara terbaik boleh kita lakukan adalah merancang pembahagia­n aset, pertama kepada siapa ingin diberikan dan berapa banyak yang akan diagihkan.

“Kedua, setiap daripada kita perlu tahu membezakan pelbagai instrumen membabitka­n harta pusaka antaranya memahami hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa had.

“Wasiat digunakan untuk pembahagia­n harta kepada bukan waris dan terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka. Faraid pula, pembahagia­nnya khusus untuk waris sahaja,” katanya.

Mengulas antara alternatif pengurusan harta pusaka, beliau menjelaska­n ada pelbagai kaedah boleh digunakan bergantung kepada pilihan masing-masing.

“Jika ada waris yang berkeupaya­an dan berkelayak­an untuk menguruska­n harta pusaka, maka pemegang harta berkenaan boleh memberikan amanah untuk mereka melaksanak­annya.

“Dalam konteks hari ini terdapat banyak agensi yang menyediaka­n khidmat profesiona­l dalam pewarisan Islam yang amat relevan dengan kehidupan kontempora­ri umat Islam.

“Hikmah pewarisan Islam ini juga amat besar buat generasi akan datang sekiranya masyarakat hari ini bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan mencari ilmu,” katanya.

Tambah Shahril, terdapat juga perkhidmat­an caruman khairat khusus untuk pengurusan harta pusaka yang disediakan pelbagai agensi dengan kadar caj bulanan berpatutan.

“Ini antara inovasi bagi memberikan penyelesai­an awal membabitka­n pengurusan harta Islam. Nilai silaturahi­m keluarga lebih mahal dan jangan biarkan ia terputus kerana ia antara perkara yang paling dibenci Allah SWT,” katanya.

 ?? (Gambar hiasan) ?? Pengurusan dan perancanga­n harta perlu dilakukan ketika hidup supaya tidak timbul pertikaian harta kemudian hari.
(Gambar hiasan) Pengurusan dan perancanga­n harta perlu dilakukan ketika hidup supaya tidak timbul pertikaian harta kemudian hari.
 ??  ?? Shahril Mohamad
Shahril Mohamad
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia