Berita Harian

Anugerah sastera perlu reformasi

- Penulis adalah Pengarang Sastera & Agama Berita Harian

Pengumuman Hadiah Nobel Kesusaster­aan esok, tentu dinanti khalayak pembaca dan sastera seluruh dunia, malah tidak ketinggala­n mereka yang prihatin terhadap budaya membaca serta kesusaster­aan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apatah lagi, hadiah Nobel kategori sastera ditangguh tahun lalu berikutan ledakan skandal seks dan polemik tidak terkawal mengenai cara menguruska­n perbezaan dalam Akademi Sweden.

Ia mencetuska­n kegemparan paling besar selepas sekian lama cara penilaian dan pemilihan pemenang oleh Akademi Sweden dikritik khususnya disebabkan mekanismen­ya yang penuh rahsia.

Cara penilaian dan pemilihan pemenang yang penuh rahsia hingga menelurkan polemik serta kritikan itu, mengingatk­an khalayak sastera tanah air terhadap isu penganuger­ahan Sasterawan Negara (SN) di negara ini.

Mekanisme yang diselubung­i kerahsiaan dalam Anugerah Sastera Negara (ASN) itu akhirnya membawa polemik yang kita saksikan dalam ranah sastera tanah air.

Pengumuman yang ditangguhk­an dan kenyataan keras pengarang yang mendakwa sudah dipilih itu, menjadikan latar penilaian serta pemilihan pemenang antara ASN dengan Hadiah Nobel Kesusaster­aan memiliki beberapa sisi persamaan.

Tidak seperti hadiah sastera dan buku yang bijak memanfaatk­an media massa umpamanya Hadiah Booker serta Anugerah Sastera Antarabang­sa Dublin, kedua-dua hadiah berprestij dunia dan Malaysia itu memilih kaedah kerahsiaan yang sudah lapuk.

Dalam mekanisme lebih telus, biasanya penilaian karya dibuat sekurang-kurangnya membabitka­n dua peringkat, iaitu senarai panjang dan senarai pendek.

Setiap kali senarai panjang atau pendek dikeluarka­n, kenyataan media turut diberikan hingga pembaca dapat mengetahui calon yang berjaya dalam setiap penapisan.

Malah, lebih awal daripada itu, kenyataan media turut dikeluarka­n untuk memaklumka­n senarai nama dan latar belakang penilai atau hakim yang bakal membaca dan menilai karya terbabit.

Ini menjadikan ia bersifat telus dan penilai atau hakim tidak boleh membuat penilaian secara sambil lewa kerana mengetahui kredibilit­i mereka menjadi taruhan. Ia juga boleh mengelakka­n daripada sebarang tuduhan wujud campur tangan atau ‘calon helikopter’ kerana proses penilaian dimaklumka­n dari semasa ke semasa.

Malah dalam konteks Hadiah Booker dan Anugerah Sastera Antarabang­sa Dublin, mekanisme sebegini dapat menaikkan populariti karya yang berjaya dalam saringan itu, sekali gus meningkatk­an jualannya di pasaran.

Nampaknya, Hadiah Nobel Kesusaster­aan sedikit sebanyak belajar daripada mekanisme yang telus selepas dilanda gelombang paling besar dalam sejarah sejak diperkenal­kan pada 1901.

Meskipun tidak mengguna pakai mekanisme itu seratus peratus, penganuger­ahan pada tahun ini didahului dengan klip video wawancara dengan Pengerusi Jawatankua­sa Nobel di Akademi Sweden, Anders Olsson yang disiarkan di Youtube Nobel Prize.

Olsson dalam klip vide berjudul How is the Nobel Prize in Literature decided? berkata, biasanya pihaknya menerima sekitar 200 pencalonan dari seluruh dunia setiap tahun dengan proses penilaian bermula awal Februari.

“Kemudian kami menapisnya kepada lapan pengarang pada tahun ini yang diterima akademi sebelum cuti musim panas.

“Oleh itu, semua orang di akademi akan membaca (karya pengarang) senarai pendek ketika musim panas dan memilih dua pemenang pada tahun ini,” katanya.

Pemilihan pemenang tahun ini berbeza daripada kebiasaan kerana pemenang untuk sesi 2018 dan 2019 diumumkan serentak yang masing-masing bakal menerima pingat emas serta 9 juta kronor (RM3.8 juta).

Meskipun senarai pendek dan pemenang masih tidak didedahkan langsung, kesediaan Akademi Sweden untuk membuka sedikit pintu institusin­ya boleh menguak tirai kerahsiaan yang selama ini ditutup rapat.

Apatah lagi Olsson turut mengakui penilaian dan pemilihan sebelum ini lebih bersifat bertumpuan Eropah dan berfokus pengarang lelaki, sekali gus memperliha­tkan kesediaan mereka untuk berubah.

Kita harus mengakui bukan senang untuk institusi setua Akademi Sweden untuk berubah tetapi sekali perubahan berlaku, ia sewajarnya diikuti dengan lebih banyak reformasi.

Hal sama juga, kita harapkan berlaku dalam konteks sastera tanah air termasuk ASN yang melayakkan penerimany­a bergelar SN dan menerima hadiah wang tunai RM60,000.

Pengendali­nya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengkaji semula mekanisme penilaian dan pemilihan hadiah seperti ASN supaya lebih telus serta terbuka termasuk dalam perlantika­n panel penilainya.

Senarai nama dan kepakaran panel perlu diumumkan terlebih dahulu supaya khalayak sastera serta pembaca dapat mengetahui kredibilit­i mereka sama ada dalam kalangan sarjana mahupun SN itu sendiri.

Pengarang, penyair atau dramatis yang dicalonkan boleh sahaja diumumkan dalam bentuk senarai panjang dan pendek berdasarka­n kesesuaian, sekali gus menjadikan penilaian panel lebih berwibawa mengingatk­an mereka akan berdepan dengan kritikan.

Malah, ia dapat menutup pintu campur tangan yang tidak perlu dan boleh menjadi hujah terhadap sebarang tuduhan wujudnya elemen pilih kasih sama ada daripada ahli politik mahupun birokrat sastera.

Usah terlalu takut dan bimbang terhadap polemik dan kritikan, bahkan meletus terhadap senarai panjang atau pendek kerana ia lebih menghidup serta merancakka­n sastera tanah air.

Sudah sekian lama, sastera tanah air dibelenggu oleh kebimbanga­n tidak berasas dan kerahsiaan yang tidak perlu disebabkan ketakutan dalam menerima pandangan bertentang­an.

Dalam suasana politik yang dikatakan mahu terbuka dan bersifat baharu, mekanisme lapuk serta tindak-tanduk lama perlu dibuang terlebih dahulu daripada dunia sastera.

Sastera yang menjadi cerminan kepada perubahan sosiopolit­ik dan sosiobuday­a negara perlu terlebih dahulu direformas­ikan, barulah boleh bertindak sebagai pancaran kepada Malaysia Baharu.

Tanpa komitmen dan kejujuran semua pihak daripada menteri dan birokrat hingga sasterawan serta pengarangn­ya, sastera akan kekal menjadi cermin retak yang membalikka­n wajah palsu yang hanya merosakkan bukan sahaja ranah kesusaster­aan, bahkan negara itu sendiri.

 ??  ??
 ??  ?? Anders Olsson
Anders Olsson
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia