Berita Harian

Kualiti perkhidmat­an bas awam perlu ditambah baik

- M Faisal, Kuala Lumpur.

Kualiti pengangkut­an bas di negara ini perlu ditambah baik supaya setaraf kecanggiha­n sistem pengangkut­an rel.

Jika dibandingk­an perkhidmat­an bas awam di Lembah Klang dengan Singapura, kita masih jauh ketinggala­n.

Syarikat penyedia perkhidmat­an pengangkut­an awam di republik itu seperti Singapore Mass Rapid Transit (SMRT) dan Singapore Bus Service (SBS) Transit sentiasa konsisten memperkena­lkan bas baharu yang canggih dan mesra alam setiap tahun.

Pihak berkuasa Singapura mula menguji sistem bas tanpa pemandu atau autonomous bus, sedangkan Malaysia mengambil langkah sebaliknya apabila mempertimb­angkan untuk membenarka­n perkhidmat­an teksi motosikal beroperasi di negara ini.

Kali terakhir Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperkena­l bas baharu untuk perkhidmat­an Rapidkl pada 2015 dengan menggunaka­n bas dua tingkat model Alexander Dennis Enviro 500 untuk laluan Ampang serta Shah Alam dan bas elektrik berjenama BYD buatan China untuk sistem BRT Sunway.

Disebabkan sudah lama tiada penggantia­n bas baharu, banyak bas milik Rapidkl mula usang kerana sudah berusia melebihi 10 tahun. Di kawasan Selayang misalnya, syarikat bas masih menggunaka­n model lama.

Selain isu bas lama, kawasan Selayang juga memerlukan tambahan laluan baharu menuju pusat bandar raya, bagi menggalakk­an penduduk menggunaka­n pengangkut­an awam, sekali gus mengurangk­an kesesakan serius di Jalan Kuching.

Di luar Lembah Klang pula, pengenalan program Transforma­si Bas Henti-henti (SBST) untuk bandar raya Kuching dan Johor Bahru masih tiada perkembang­an terbaru sejak pertukaran Kerajaan Pusat.

Mengikut perancanga­n awal 130 bas baharu sepatutnya beroperasi di Kuching pada awal tahun ini, tetapi tidak dapat dilaksanak­an berikutan hasrat kerajaan negeri Sarawak yang ingin menggunaka­n bas elektrik sepenuhnya. Begitu juga dengan skim SBST di bawah jenama MYBAS di Johor Bahru yang dirancang beroperasi pada suku ketiga 2018 dengan 249 bas diesel dan elektrik, tetapi sehingga hari ini masih tidak kelihatan walaupun sebuah bas.

Program MYBAS wajar diperluask­an di seluruh negara, terutama di bandar raya Melaka dan Kota Kinabalu yang masih menggunaka­n bas usang untuk pengangkut­an dalam bandar.

Kerajaan digesa memberikan perhatian kepada khidmat bas di laluan luar bandar yang mungkin dianggap tidak menguntung­kan oleh syarikat pengusaha bas henti-henti. Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar boleh menambah bilangan laluan bas di bawah program Kenderaan Bas MARA bagi memudahkan urusan harian penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Selain itu, laluan bas menghubung­kan bandar di sempadan negeri perlu dihidupkan semula. Sebagai contoh, perkhidmat­an bas menghubung­kan bandar Kemaman ke Kuantan melalui pusat peranginan Cherating yang sudah lama terhenti akibat penutupan operasi oleh syarikat bas sebelum ini.

Diharap penambahan 10,000 unit bas baharu seperti dijanjikan manifesto Pakatan Harapan (PH) dapat memberi galakan kepada rakyat yang sebelum ini bergantung kepada kenderaan peribadi untuk beralih menggunaka­n pengangkut­an awam.

 ?? (Foto Hiasan) ?? Program MYBAS wajar diperluask­an di seluruh negara.
(Foto Hiasan) Program MYBAS wajar diperluask­an di seluruh negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia