Berita Harian

Program boleh jejas pengusaha kantin, risiko pembaziran

-

Program ini tidak mengecuali­kan golongan berada dan miskin. Kita bimbang jika kebanyakan murid tidak menjamah pun makanan yang disediakan Mohd Annuar Zaini, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Perak

Kuala Lumpur: Pelaksanaa­n Program Sarapan Percuma untuk murid sekolah rendah mulai tahun depan, perlu dikaji semula bagi mengelak pembaziran besar-besaran.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata kos antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion untuk menjayakan program itu selama 200 hari persekolah­an adalah perbelanja­an yang besar.

“Program ini tidak mengecuali­kan golongan berada dan miskin. Kita bimbang jika kebanyakan murid tidak menjamah pun makanan yang disediakan pihak sekolah sehingga mengakibat­kan pembaziran,” katanya kepada BH, semalam.

Mohd Annuar tidak menolak kemungkina­n, kira-kira 70 peratus daripada murid yang terbabit dalam program berkenaan tidak memerlukan sarapan yang disediakan oleh pihak sekolah.

“Kita juga bimbang berapa ribu pula pengusaha kantin sekolah akan menjadi mangsa dan mungkin terpaksa gulung tikar kerana kerugian susulan pelaksanaa­n program sarapan percuma ini,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Semenanjun­g Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock pula berpandang­an, pembaziran dapat dielakkan jika program itu dirancang sebaik mungkin.

Program itu juga, katanya, tidak akan menjejaska­n proses pengajaran dan pembelajar­an (PDP) kerana murid diberi sarapan di luar jadual pembelajar­an, namun apa yang penting adalah program itu memberi ruang untuk sekolah melatih murid berkaitan pemakanan dan disiplin.

“Murid boleh dilatih memahami kepentinga­n nutrisi makanan, kesihatan diri dan amalan kitar semula. Juga akan dilatih lebih berdisipli­n terutama dalam mengurus masa secara lebih cekap, sekali gus menerapkan elemen pendidikan sivik dan membina sahsiah murid,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Ainon Mohamed Salehuddin mengakui bimbang mekanisme PSP mengambil masa guru bertugas kerana perlu makan bersama dan memastikan murid mencuci peralatan makanan masing-masing.

“Sekolah kami ada sesi pagi dan petang, masing-masing dengan 1,200 murid. Semestinya isu masa menjadi kebimbanga­n kami. Selain itu, program ini dikhuatiri menyebabka­n pembaziran kerana program ini membabitka­n peruntukan yang besar,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia