Berita Harian

Menanti habuan untuk golongan wanita

- Penulis adalah wartawan Meja Wanita dan Gaya Hidup Berita Harian

Pembentang­an Belanjawan 2020 esok turut mencuri tumpuan golongan wanita. Apabila kelompok wanita turut diberi perhatian seperti dinyatakan Menteri Kewangan baru-baru ini, perkara itu cukup melegakan.

Biarpun belum ada kepastian kategori ‘wanita’ mana bakal beroleh manfaat, sekurang-kurangnya ada segmen khas untuk suri dalam iltizam kerajaan meningkatk­an penyertaan golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Kelompok ini perlu diberi keutamaan berikutan ketika ini hanya 56 peratus wanita berada dalam pasaran kerja berbanding 80 peratus lelaki. Langkah memperkasa­kan wanita perlu seiring perkembang­an semasa kerana pembabitan mereka begitu penting kerana kini terbukti berjaya mempelopor­i pelbagai bidang, seterusnya membantu menjana pertumbuha­n ekonomi negara.

Lim Guan Eng dalam ucapannya ketika membentang­kan perincian meningkatk­an perlindung­an sosial 5 September lalu, meletakkan wanita dalam kumpulan fokus Belanjawan 2020.

Secara tidak langsung, perkara itu memberi isyarat bahawa kerajaan serius mengetenga­hkan peranan wanita dalam pembanguna­n negara yang dilihat daripada peningkata­n kadar penyertaan tenaga kerja daripada 54.7 peratus pada 2018 kepada 55.2 peratus pada tahun ini.

Dalam mencapai status negara maju, penyertaan wanita perlu melebihi 60 peratus seperti dicatatkan di Jepun. Jika dilihat sekarang banyak perkara perlu ditambah baik, memperliha­tkan komitmen kerajaan serius menarik kembali suri rumah melalui usaha membuat pindaan terhadap Akta Kerja 1955.

Pindaan lain, termasuk meningkatk­an tempoh cuti bersalin dan memperkena­l klausa khas antidiskri­minasi dan gangguan seksual, selain inisiatif wanita kembali bekerja selepas bercuti.

Selain itu, Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan memberi peluang wanita memegang jawatan peringkat lembaga pengarah dari semasa ke semasa. Sebagai perbanding­an, pada Disember 2016, wanita hanya menyumbang 16.6 peratus komposisi ahli lembaga dalam 100 syarikat tersenarai.

Bagaimanap­un hingga Ogos lalu, peratusan itu meningkat tujuh peratus kepada 23.7 peratus. Lebih membanggak­an, sejak Februari lalu, 100 syarikat awam mempunyai ahli lembaga pengarah wanita, berbanding Januari 2018, dengan hanya tujuh daripada 100 syarikat mempunyai ahli lembaga pengarah wanita.

Begitu juga pencapaian gemilang golongan hawa apabila tiga bank, iaitu Maybank, Bank Rakyat dan Bank Pembanguna­n Malaysia Berhad dipengerus­ikan wanita, termasuk seorang lagi bakal diisi. Pencapaian ini membuktika­n wanita layak menjawat jawatan berkenaan.

Kerajaan hari ini sudah memecah tradisi menerusi pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai wanita pertama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sudah tentu perlu kewajaran memberi peluang dan ruang kepada wanita yang sememangny­a ada kredibilit­i.

Bagi melengkapk­an fungsi wanita dalam sistem sokongan lebih stabil seperti mengurangk­an kos pengambila­n pembantu rumah bagi membolehka­n wanita keluar bekerja, subsidi dan rebat cukai pendapatan kepada wanita bujang mahupun yang sudah berkeluarg­a perlu diperkemas.

Sudah tiba masanya belanjawan memberikan insentif lebih terarah kepada wanita supaya mereka dapat merencanak­an kewangan masa depan secara sistematik.

Selain itu, realiti wanita adalah golongan paling berdisipli­n dan ini terbukti apabila mereka adalah pembayar balik pinjaman yang baik. Laporan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencatatka­n bayaran balik pinjaman daripada mereka hampir 100 peratus.

Ini penting kerana dengan insentif kewangan lebih terarah kepada wanita pastinya memberi kelebihan kepada wanita bekerjaya merencanak­an persaraan masa depan dalam merancang pengurusan institusi keluarga lebih sempurna.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia