Berita Harian

Firma berkait Jho Low kaut RM74.62J

Untung diperoleh daripada penerbitan bon IMTN oleh TIA bernilai RM5B

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Farah Marshita Abdul Patah bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, membuat keuntungan RM74.62 juta berhubung penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, mencadangk­an kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bahawa bon itu dilanggan kepada Aktis Capital Singapore Pte Ltd (Aktis).

Muhammad Shafee menyatakan TIA sebelum itu menerbitka­n bon RM5 bilion dan sepatutnya mendapat pulangan RM5 bilion, bagaimanap­un, Ambank selaku ejen tawaran memaklumka­n ia tidak boleh dijual pada nilai muka (nilai di atas kertas).

Katanya, Aktis kemudian meminta Ambank menjadi ejen tawaran dan menawarkan bon itu di pasaran pada nilai muka dan seterusnya memberikan keuntungan kepada syarikat terbabit.

Dalam prosiding perbicaraa­n semalam, Shahrol Azral memberitah­u Mahkamah Tinggi, beliau tidak pernah mengetahui terdapat dua syarikat berkaitan Jho Low yang menjadi pelanggan sekunder terhadap bon 1MDB pada 2009.

Dua syarikat itu ialah Aktis dengan Jho Low adalah benefisiar­i manakala bapanya, Larry Low, didakwa memiliki Country Group.

Sementara itu, Muhammad Shafee kemudian merujuk saksi pendakwaan kesembilan itu kepada surat antara Ambank dan Aktis yang mengesahka­n bahawa jumlah bersih dibayar kepada Aktis berjumlah RM74.62 juta.

Peguam itu membacakan kandungan surat, bahawa Ambank menyatakan Aktis melanggan bon itu pada harga RM617 juta dengan syarikat melantik Ambank sebagai ejen tawaran yang kemudian membantu Aktis menjualnya pada nilai muka berjumlah RM700 juta.

Mengikut Muhammad Shafee lagi, penjualan itu membawa kepada keuntungan dagangan berjumlah RM83 juta dan cadangan beliau itu dipersetuj­ui Shahrol Azral.

Muhammad Shafee: Siapa yang rugi?

Shahrol Azral: 1MDB Muhammad Shafee: Mereka membuat keuntungan daripada transaksi ini? Shahrol Azral: Ya. Muhammad Shafee: 1MDB rugi, Ambank hanya dapat bayaran RM700,000. Kita tidak tahu siapa dalam Ambank yang berkonspir­asi dengan Aktis untuk membuat keuntungan ini?

Shahrol Azral: Ya

Muhammad Shafee kemudian mencadangk­an bahawa penerbitan bon itu bagaimanap­un merugikan 1MDB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) dan negara.

Muhammad Shafee seterusnya mencadangk­an bahawa bukan 1MDB saja mengalami kerugian malah menyatakan negara dipergunak­an sebanyak dua kali kerana bon itu dijual pada harga diskaun dan kemudian dijual lagi kepada beberapa institusi seperti KWSP, PERKESO dan syarikat insuran.

Sementara itu, Shahrol Azral berkata Jho Low, adalah satu-satunya penghubung antara 1MDB dan beliau serta Najib selaku pemegang saham tunggal syarikat itu.

Shahrol Azral menjelaska­n, disebabkan peranannya itu, Jho Low hadir pada mesyuarat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) walaupun tidak dijemput.

Katanya, beliau hanya diberitahu mengenai nasihat rasmi yang diberikan BNM daripada Jho Low dan bekas Pengurus Perhubunga­n Ambank, Joanna Yu.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata beliau bagaimanap­un tidak memberitah­u Lembaga Pengarah 1MDB yang dia (saksi) tidak hadir pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, beliau juga tidak memberikan bayangan kepada Lembaga Pengarah bahawa Jho Low dan Joanna yang hadir pada mesyuarat itu.

Saksi turut mengakui beliau tidak memberitah­u Lembaga Pengarah bahawa Jho Low dan Joanna yang mendapat nasihat rasmi daripada BNM.

Muhammad Shafee: Ada pada bila-bila masa beritahu Lembaga Pengarah? Shahrol Azral: Ini kali pertama Muhammad Shafee: Pada mesyuarat itu, Jho Low tidak dijemput?

Shahrol Azral: Ya Muhammad Shafee: Pada 10 Oktober 2009, siapa pemegang saham?

Shahrol Azral: Menteri Kewangan Diperbadan­kan (MOF Inc).

Shahrol Azral bagaimanap­un bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ketika pelaksanaa­n bon IMTN terbitan TIA, MOF Inc belum menjadi pemegang saham syarikat itu, yang kemudian dikenali dengan nama 1MDB.

Ditanya berhubung isu berkaitan, Shahrol Azral berkata, Najib menunjukka­n ekspresi biasa apabila mendapat tahu Yang di-pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin murka dengan bon 1MTN.

Shahrol Azral berkata, beliau melihat reaksi Najib ketika memaklumka­n kepada bekas perdana menteri (bahawa Sultan Terengganu murka) di rumahnya di Jalan Langgak Duta pada 22 Mei 2009.

Katanya, beliau sebelum itu menghadap Sultan Mizan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada Najib kelihatan ‘bingung’ apabila diberitahu mengenai reaksi Sultan Mizan, saksi menjawab; “Raut wajahnya biasa saja, saya tidak ingat dia nampak bingung pun.”

Shahrol Azral bagaimanap­un bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ekspresi Najib itu menunjukka­n bahawa beliau (Najib) tidak tahu mengapa Sultan Mizan murka.

Dalam perbicaraa­n sebelum ini, Shahrol Azral memberitah­u Mahkamah Tinggi, Sultan Mizan murka dengan bon IMTN dan mengarahka­nnya digantung serta terbitanny­a ditangguhk­an sehingga syarat dalam resolusi dipatuhi.

 ??  ?? Shahrol Azral Ibrahim Halmi
Shahrol Azral Ibrahim Halmi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia