Berita Harian

Tidak pernah lihat projek Mubadala di Pulau Bidong

-

Kuala Lumpur: Pengurusan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) tidak pernah melawat tapak projek pembanguna­n Pulau Bidong, Terengganu, bagi pembinaan sebuah hotel mewah yang dianggarka­n bernilai RM1.8 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangan­nya, mengakui bahawa beliau sendiri tidak pernah menjejakka­n kaki ke pulau itu bagi menyaksika­n projek usaha sama di antara 1MDB dan Mubadala Investment Co berpangkal­an di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata demikian pada perbicaraa­n kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, sama ada projek Pulau Bidong benar-benar wujud, Shahrol Azral menjawab: “Saya pernah melihat pelan awal pembanguna­n pulau itu.

“Saya pernah ditunjukka­n beberapa pelan awal yang mengandung­i diagram pulau berkenaan, di mana sebuah hotel mewah akan dibina.

“Saya juga ingat bahawa saya pernah mengadakan perbincang­an dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hartanah dan Hospitalit­i Munadala, John Thomas, mengenai perancanga­n itu,” katanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu, berkata pada waktu itu beliau percaya bahawa projek Pulau Bidong memang wujud.

Ditanya sama ada beliau kemudian mengubah pendiriann­ya berhubung projek itu, Shahrol Azral menjawab, “Sehingga sekarang tiada apa-apa yang berlaku.”

Muhammad Shafee: Tiada sebarang kajian dilakukan? Shahrol Azral: Kalau saya tak salah, dalam diagram itu terkandung kajian.

Muhammad Shafee: Anda sebagai CEO, tidak pernah menjejakka­n kaki ke Pulau Bidong?

Shahrol Azral: Tidak pernah

Pada prosiding itu, Muhammad Shafee kemudian membaca artikel diterbitka­n oleh The Edge Market pada 25 Mei 2009, yang memetik kenyataan bahawa Mubadala tidak bersetuju untuk melabur AS$1.8 bilion dalam projek terbabit.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa kenyataan itu adalah bagi membalas maklum balas yang dibuatnya berhubung usaha sama dengan Mubadala bagi pembanguna­n hartanah, saksi itu berkata, “tidak setuju.”

Katanya, pada waktu itu belum ada keputusan mengenainy­a kerana masih terlalu awal dan syarikat tidak mempunyai wang.

Ditanya Muhammad Shafee sama ada terdapat Memorandum Persefaham­an bagi projek itu, Shahrol Azhar berkata, “Tiada.”

Pada perbicaraa­n itu, Shahrol Azral turut mengakui tiada bukti bahawa Najib mengetahui salah laku ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung cadangan projek pembanguna­n Pulau Bidong.

Ditanya sama ada usaha sama itu hanya sebahagian kecil daripada perancanga­n ahli perniagaan itu, saksi menjawab, “Saya tidak tahu, Saya tidak ada maklumat lengkap.”

Sementara itu, mahkamah diberitahu bahawa Mesyuarat Kabinet pada 2009 menyatakan kebimbanga­n mengenai aduan Yang di-pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengenai terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion.

Muhammad Shafee membangkit­kan mengenai perkara itu ketika merujuk dokumen Mesyuarat Kabinet pada Jun 2009 kepada Shahrol Azral.

Peguam itu berkata, mesyuarat terbabit dipengerus­ikan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana Najib dalam rangka lawatan kerja ke Korea.

Beliau berkata, Muhyiddin bertemu dengan Sultan Mizan pada 3 Jun 2009 dan menyatakan bon itu tidak sepatutnya diluluskan oleh TIA kerana banyak isu dan perkara berhubung syarikat belum dimuktamad­kan.

Katanya, antaranya isu berhubung dana TIA yang akan diperoleh daripada royalti minyak, Jawatankua­sa Selian Khas belum dimuktamad­kan dan Yayasan TIA belum ditubuhkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia