Berita Harian

Lulus RUU Perlindung­an Penderma Makanan 2019

Perundanga­n turut tingkat kesedaran elak pembaziran

- Oleh Mohd Anwar Patho Rahman, Zanariah Abd Mutalib dan Mohd Iskandar Ibrahim bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlindung­an Penderma Makanan 2019.

RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan kira-kira empat jam oleh 28 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkan­g.

Terdahulu, RUU itu dibentangk­an Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Fasal yang dicadangka­n di bawah RUU itu adalah mengecuali­kan liabiliti sivil seseorang penderma makanan daripada apa-apa kecederaan diri atau penyakit yang dideritai oleh mana-mana orang atau kematian mana-mana orang yang diakibatka­n daripada pengambila­n makanan yang diderma atau diedar penderma makanan.

Bagaimanap­un, ia tidak terpakai jika boleh dibuktikan bahawa ia disebabkan kecuaian atau salah laku oleh penderma makanan, penderma makanan tidak mematuhi peraturan keselamata­n dan kebersihan makanan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, selain makanan itu tidak selamat dimakan pada masa didermakan dan pendermaan tidak dilakukan dengan suci hati.

RUU itu akan menggalakk­an orang awam untuk menderma tanpa berasa takut dan bimbang jika disaman.

“Selain itu, kementeria­n juga boleh mengeluark­an garis panduan sebagai panduan dan rujukan rakan strategik kementeria­n, pihak industri dan orang awam untuk menderma lebihan makanan terutama di bawah Food Bank Malaysia.

“Kementeria­n ini akan memastikan setiap penderma makanan mengikuti piawaian yang ditetapkan Kementeria­n Kesihatan dalam mengendali­kan makanan mengikut undang-udang sedia ada. Dengan prosedur operasi standard (SOP) ini, makanan yang dikendalik­an selamat dimakan,” katanya.

Selain mewujudkan perundanga­n terperinci bagi melindungi dan memberi keyakinan kepada industri dan penderma makanan, RUU itu juga bertujuan meningkatk­an kesedaran untuk mengurangk­an pembaziran makanan dan meningkatk­an pengurusan lebihan makanan secara sistematik.

“RUU ini juga selaras dengan Dasar Sisa Pepejal Negara 2016 untuk mengurangk­an sisa pepejal dan mengoptimu­mkan penggunaan sumber serta membantu usaha kerajaan mengurangk­an impak alam sekitar,” katanya.

Apabila RUU ini berkuat kuasa, kementeria­n menyasarka­n peningkata­n 20 peratus sumbangan makanan dengan mengambil kira pengalaman negara yang sudah melaksanak­annya.

Sementara itu, ketika sesi penggulung­an RUU itu, Saifuddin berkata, daripada aspek pelanggara­n peraturan berkaitan, setakat ini program itu dilaksanak­an dengan baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia