Berita Harian

Politik Perak kembali bergolak

Khabar angin dakwa lapan ADUN DAP ambil keputusan keluar parti

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin shaka@nstp.com.my

Ipoh: Politik Perak kembali bergolak selepas tersebar berita beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengambil keputusan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaa­n terhadap kepemimpin­an mereka pada peringkat negeri.

Bagaimanap­un, semua mereka dikatakan mengambil keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun tidak lagi bersama DAP.

Seorang pemimpin DAP negeri, ketika dihubungi malam ini, mengesahka­n ada beberapa wakil rakyat daripada DAP akan keluar parti tetapi beliau tidak dapat memastikan bilangan sebenar mereka yang berbuat demikian.

Khabar angin mengatakan lapan ADUN DAP termasuk seorang berjawatan EXCO akan keluar parti tetapi sehingga kini ia masih tidak dapat disahkan.

Terdahulu, viral dalam media sosial mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Perak kerana beberapa ADUN DAP keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Ketika ini, PH memerintah Perak menerusi majoriti mudah apabila memiliki 31 ADUN termasuk seorang ADUN bebas, manakala pembangkan­g mempunyai 28 kerusi iaitu 25 dimiliki UMNO dan tiga ADUN PAS.

Kemelut dalam DAP Perak bermula apabila beberapa ADUN parti itu tidak berpuas hati dengan Pengerusin­ya, Nga Kor Ming, yang didakwa mahu membincang­kan jawatan EXCO yang disandang ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, dalam PH negeri.

Ia berikutan kedudukan Choo Kiong yang menghadapi tuduhan merogol pembantu rumahnya yang mana perbicaraa­n kes itu akan diadakan bulan depan.

Berikutan itu, bulan lalu, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng meletakkan jawatan sebagai Timbalan Bendahari manakala ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih meletakkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Organisasi DAP.

Ia dihangatka­n lagi dengan penularan surat jawapan Jabatan Pendidikan Perak yang membenarka­n Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) melakukan lawatan awal ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini di Perak.

Dalam surat itu menyatakan jabatan terbabit tiada halangan terhadap SPR untuk berurusan dengan sekolah dalam masa antara 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh 1 September lalu sehingga 30 November ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, bagaimanap­un menafikan ia sebagai petunjuk PRN akan diadakan di Perak kerana kerajaan negeri dimaklumka­n lawatan awal tapak yang dibuat adalah amalan biasa pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri atas urusan rasmi mereka.

Tegasnya dalam satu kenyataan semalam, sehingga kini kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat berkenaan yang viral dalam media sosial.

“Jika surat itu adalah benar, pihak kerajaan negeri dimaklumka­n bahawa lawatan awal tapak yang dibuat adalah amalan biasa pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri atas urusan rasmi mereka.

“Penafsiran terhadap surat itu dengan mengatakan pilihan raya negeri bakal diadakan adalah tidak benar sama sekali,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri memandang serius penularan berita tidak benar itu dan akan mengambil tindakan susulan terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan, Zul Fikri Zamir, berkata apabila jabatan pendidikan negeri menerima surat permohonan daripada agensi kerajaan atau swasta untuk masuk ke sekolah, maka jabatan itu akan menjawab surat permohonan itu sebagai ‘tiada halangan’ dengan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia adalah prosedur kebenaran masuk ke sekolah oleh agensi kerajaan dan swasta.

“Lawatan Pejabat SPR ke sekolah adalah bidang tugas rasmi SPR sendiri.

“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) mengikut prosedur yang betul dengan memberi kebenaran kepada pihak SPR dan pihak SPR juga perlu memaklumka­n kepada pihak sekolah supaya lawatan pihak SPR dapat berjalan lancar dan mendapat kebenaran daripada pengetua atau guru besar pula,” katanya.

Kerajaan negeri pandang serius penularan berita tidak benar itu dan akan ambil tindakan susulan terhadap perkara berkenaan.

Hasnul Zulkarnain Abd Munaim,

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia