Berita Harian

‘Isa arah segera bayar RM100 juta’

Saksi kelima terima arahan secara lisan pembelian MPHS bernilai RM160J

- Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar fatin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, mengarahka­n FELDA menyegerak­an bayaran RM100 juta kepada FELDA Investment Corporatio­n Sdn Bhd (FICSB) untuk dibayar kepada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAP) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada, 62, memaklumka­n perkara itu kepada Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, yang mendengar perbicaraa­n kes Mohd Isa berhubung pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapiny­a, lima tahun lalu.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata beliau menerima arahan terbabit daripada Mohd Isa secara lisan pada Mei 2015, berhubung pembelian MPHS bernilai RM160 juta oleh FICSB, yang juga anak syarikat FELDA.

“Ahli Lembaga Pengarah FELDA belum mengeluark­an keputusan berhubung pembelian MPHS ketika itu, namun saya tidak tahu dokumen bayaran RM100 juta yang ditandatan­gani itu tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

“Bagaimanap­un, saya bayar RM100 juta atas arahan Mohd Isa. Jika tahu ia tidak diluluskan, saya tidak tandatanga­ni,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, pada hari ketiga perbicaraa­n Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, Hanapi yang bersara wajib pada 2017, berkata Mohd Isa tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah bagi pembelian MPHS bernilai RM160 juta oleh FICSB.

“Mohd Isa juga tidak mendapatka­n ratifikasi pembelian hotel itu mengikut had pelaburan RM100 juta seperti mana ditetapkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

“Tiada kelulusan diminta Ahli Lembaga Pengarah FICSB dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi pembelian MPHS, yang turut dihadiri Mohd Isa selaku Ahli lembaga pengarah pada 23 Jun dan 4 Ogos 2015,” katanya.

Hanapi memberitah­u, Mohd Isa mempengeru­sikan Mesyuarat Ahli lembaga pengarah dan boleh membuat keputusan dalam mesyuarat itu.

“Pengerusi FELDA (Mohd Isa) boleh tentukan sekiranya kertas kerja cadangan boleh dibentangk­an dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah dan saya sahkan perkara ini kerana turut hadir dalam mesyuarat terbabit,” katanya.

Afzainizam: Adakah pengerusi FELDA boleh tentukan sama ada kertas kerja boleh dibentangk­an dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA? Hanapi: Boleh.

Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi FELDA tidak membenarka­n kertas kerja dibentangk­an di mesyuarat? Hanapi: Sekiranya perlu, saya akan bagi pandangan, kemudian saya akur dengan keputusan Pengerusi FELDA.

Afzainizam: Sepanjang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah FELDA, pernahkah mandat pelaburan RM100 juta ini dimansuhka­n atau ditarik balik?

Hanapi: Tidak pernah.

Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahka­n salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

“Minit ini dicatat Setiausaha Lembaga FELDA, Erwan Aman dan ditandatan­gani Tan Sri Isa. Saya cam tandatanga­n Tan Sri Isa pada muka surat akhir minit ini.

“Mesyuarat itu membincang­kan mengenai bayaran pendahulua­n berjumlah RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek MPHS dan cadangan kaedah bayaran balik pendahulua­n ini,” katanya.

Sementara itu, Hanapi bersetuju dengan peguam Datuk Sallehudin Saidin yang mewakili Mohd Isa, bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

“Sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri, tiada SOP kertas kerja atau keputusan ditetapkan bagi pembelian melebihi syarat dasar pelaburan RM100 juta untuk dibawa ke Lembaga FELDA.

“Terpulang pada anak syarikat termasuk FICSB untuk maklum mengenai permohonan sedang dibuat atau bagi mendapatka­n kelulusan,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015, mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika bersabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

 ??  ?? Hanapi Suhada
Hanapi Suhada

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia