Berita Harian

Masjid beri makanan kepada asnaf setiap hari

Inisiatif bantu masyarakat tanpa mengira bangsa, agama

- Oleh Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my

Bukit Mertajam: Pemberian makanan percuma setiap hari kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama, antara pengisian di bawah program Baitulmal Masjid Machang Bubok, di sini, sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Baitulmal Masjid Machang Bubok, Nor Ghazali Wan Chik, berkata inisiatif itu adalah salah satu cara untuk membantu masyarakat, terutama golongan asnaf dan warga emas yang kurang berkemampu­an atau uzur dalam kariah Machang Bubok, selain memperoleh saham akhirat.

Bagaimanap­un, program dinamakan sebagai Dapur Asnaf itu tidak terhad kepada dua golongan berkenaan saja, sebaliknya terbuka kepada sesiapa saja yang ingin singgah dan makan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Baitulmal Masjid Machang Bubok ini ditubuhkan sejak Februari lalu dan dimulakan dengan pembukaan satu kaunter di masjid untuk orang ramai menginfak barang mentah, dinamakan Dapur Asnaf.

“Pada Ogos, kita mulakan pemberian makanan percuma ini dengan lokasinya di tepi Jalan Kulim.

“Tempat ini diwakafkan individu yang bermurah hati. Segala persiapan termasuk memasak dibuat di sini oleh tujuh kumpulan sukarelawa­n terdiri daripada suri rumah, yang akan melakukan tugas secara bergilir-gilir selama tujuh hari seminggu.

“Wang disumbangk­an orang ramai menerusi baitulmal ini digunakan untuk membeli bahan basah. Bahan keperluan lain kita peroleh daripada sumbangan infak orang ramai dan ada juga yang ditaja oleh sukarelawa­n sendiri,” katanya ketika ditemui BH, di sini.

Tempoh mengambil makanan di situ ditetapkan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan bagi warga emas yang uzur pula, makanan akan dihantar ke rumah mereka setiap hari.

“Masjid Machang Bubok mungkin yang pertama mulakan program ini di Seberang Perai kerana saya belum melihat lagi atau dalam pengetahua­n mana-mana masjid melakukan inisiatif begini,” katanya yang turut memaklumka­n program setakat ini berjalan lancar.

Selain pemberian makanan percuma, Baitulmal Masjid Machang Bubok turut menguruska­n perkhidmat­an Grab khusus kepada pesakit yang tiada kenderaan untuk ke hospital mendapatka­n rawatan, dengan bayaran perkhidmat­an itu ditanggung pihak baitulmal.

“Di samping itu, di bawah baitulmal kita ada skim pendidikan dengan memberi bantuan persekolah­an segi pakaian seragam Kelas Al-quran dan Fardhu Ain (KAFA), yuran dan buku sekolah.

“Setiap permohonan yang kita terima akan ditapis terlebih dahulu dan sekiranya semakan mendapati mereka amat perlukan bantuan, kita akan beri.

“Bagi perancanga­n masa depan, kita mahu buka pasar harian di bawah koperasi masjid yang menyediaka­n pelbagai barangan harian termasuk bahan basah dengan semuanya adalah produk muslim,” katanya.

Nor Ghazali berkata, 30 keluarga asnaf dalam kariah Machang Bubok yang berdaftar dengan baitulmal turut menerima bantuan bulanan berupa barangan keperluan harian.

Katanya, pihak korporat atau individu yang mahu menyumbang ke tabung baitulmal dialu-alukan berbuat demikian dengan menyalurka­nnya menerusi akaun Maybank 5573260604­10 atau menghubung­inya di talian 018-8744967.

 ?? (Foto Danial Saad/bh) ?? Penduduk yang menikmati juadah yang disediakan Baitulmal Masjid Machang Bubok di Bukit Mertajam.
(Foto Danial Saad/bh) Penduduk yang menikmati juadah yang disediakan Baitulmal Masjid Machang Bubok di Bukit Mertajam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia