Berita Harian

Generasi ke-12 Toyota Corolla versi CBU dilancar

Model serba baharu ditawar dengan dua varian, harga bermula RM136,888

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia melancarka­n Toyota Corolla serba baharu untuk pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM136,888.

Model Corolla generasi ke-12 itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.8G dan 1.8E yang masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM136,888 dan RM128,888.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata versi import sepenuhnya (CBU) itu menjadi model teras di dalam barisan kenderaan keluaran Toyota sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata, dengan Toyota Corolla serba baharu, UMWT menyasarka­n menarik minat pelanggan baharu yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan kepada yang lebih bergaya berbanding kenderaan sebelum ini.

“Bagi generasi ke-12 terbaru ini, ia mengikut jejak yang sama, selari dengan matlamat Toyota untuk menawarkan kenderaan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Toyota Corolla serba baharu antara model Toyota yang menerapkan penggunaan TNGA (Toyota New Global Architectu­re). TNGA menawarkan kepelbagai­an yang lebih meluas kepada pereka dan jurutera untuk mengoptimu­mkan rekaan bagi pelbagai jenis kenderaan yang berbeza,” katanya ketika melancarka­n Toyota Corolla serba baharu di Genting Highlands, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi UMWT, Tan Sri Hamad Kama Piah Othman dan Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

Sementara itu, Takeyama berkata, UMWT menyasarka­n menjual kira-kira 2,000 unit setahun bagi model Corolla serba baharu itu.

“Kami yakin untuk mencapai sasaran dengan pelanggan utama kami terdiri daripada golongan profesiona­l dan eksekutif,” katanya.

Corolla adalah model kereta paling laris di dunia untuk jenama Toyota, dengan 46 juta unit dikeluarka­n sejak mula diperkenal­kan pada 1966.

Setakat ini, lebih 150,000 unit terjual di pasaran Malaysia.

Sentuhan rekaan terbaru pada Corolla serba baharu ini mengikut tema dinamik yang diperkenal­kan pada model Toyota sebelum ini.

Sebagai contoh, lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED ditempatka­n di sepanjang jalur kemasan krom, membuatkan kereta ini mempunyai aliran rekaan dinamik serta nampak lebar pada bahagian depan seperti yang dapat dilihat pada varian 1.8G.

Bahagian kabin dalaman Corolla pula direka untuk memberikan selesaan dan keluasan, tampil moden dengan suasana yang menyenangk­an, baik pada penglihata­n dan juga sentuhan; sekali gus menjadi cerminanny­a sebagai sebuah sedan yang berprestij.

Ciri-ciri lain yang ada pada Corolla terbaru ini ialah meter optitron dengan MID 7-inci yang boleh diubah kepada paparan meter analog dan juga digital, monitor pemandanga­n panoramik dengan imej 3D, cermin pandang belakang elektrokro­matik, mod Sport dengan paddle shifter, pelindung cahaya matahari di belakang serta pengecas tanpa wayar untuk telefon.

Kedua-dua varian Corolla terbaharu ini menggunaka­n enjin 1.8-liter 2ZR-FE empat-silinder DOHC 16-injap dengan Dual VVT-I.

Toyota Corolla baharu ditawarkan dengan lima warna iaitu Celestite Gray Metallic, White Pearl CS, Silver Metallic, Red Mica Metallic dan Attitude Black.

 ??  ?? Toyota Corolla serba baharu tampil rekaan optimum dan pemanduan lebih selesa.
Toyota Corolla serba baharu tampil rekaan optimum dan pemanduan lebih selesa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia