Berita Harian

86 ditahan kes penipuan pelaburan antarabang­sa

-

Georgetown: Satu sindiket penipuan pelaburan antarabang­sa didalangi seorang lelaki tempatan tumpas selepas polis menahan 86 individu dalam serbuan di dua unit kediaman di Jalan Logan, di sini, kelmarin.

Mereka yang ditahan dalam operasi jam 4.45 petang itu adalah pekerja, terdiri daripada 79 warga China dan tujuh rakyat Malaysia, berusia antara 20 hingga 42 tahun.

Sindiket berpangkal­an di China itu dikesan beroperasi sejak sebulan lalu dan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi dengan menyasarka­n mangsa dari negara China.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata, ketika serbuan, semua penghuni sedang melayari komputer di ruang tamu.

“Berdasarka­n siasatan, sindiket diketuai lelaki Malaysia dikenali sebagai Mr Wong dan dipercayai masih berada di China.

“Suspek berperanan menghantar warga China ke sini, manakala seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Kuala Lumpur dikenali sebagai Jackey, menguruska­n kegiatan ini di negara ini.

“Sindiket beroperasi menggunaka­n komputer dan telefon bimbit sebagai alat komunikasi dengan upah lumayan ditawarkan kepada semua pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Che Zaimani berkata, setiap warga China terbabit ditawarkan gaji sebanyak 4,000 yuan bersamaan RM2,355 sebulan tidak termasuk komisen, manakala pekerja rakyat tempatan menerima gaji bulanan RM1,600 dengan komisen mencecah RM10,000.

Pemeriksaa­n terhadap 71 lelaki dan seorang wanita warga China yang ditahan itu mendapati semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Polis turut dirampas dalam serbuan itu adalah 460 buah telefon bimbit dan 55 buah komputer pelbagai jenama dan satu set router Wifi,” katanya.

Polis Antarabang­sa (INTERPOL) dan kedutaan China sudah dihubungi bagi memaklumka­n perkara itu.

Semua warga China yang ditahan direman 14 hari, manakala reman dua hari terhadap tujuh suspek rakyat Malaysia bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Che Zaimani juga menegaskan, warga China terbabit turut ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk ke negara ini tanpa permit sah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia