Berita Harian

Jalan Persiaran Atmosfera dijangka siap Februari

Projek tergendala sejak 2009 babit kos RM3.4J bakal manfaat 40,000 penduduk sekitar

- Oleh Zaharah Anum Mohd Tuah bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Pembinaan sebahagian jalan di Persiaran Atmosfera U5 di sini, yang tergendala sejak 2009 kerana isu rumah setinggan, akan diteruskan dan dijangka siap Februari depan.

Projek pembinaan laluan menghubung­kan Lebuhraya Guthrie dan Persiaran Cakerawala sepanjang 600 meter dengan kos sebanyak RM3.4 juta itu bakal memberi manfaat kepada 40,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankua­sa Infrastruk­tur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim, berkata pembinaan jalan berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat di bawah pemaju, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Beliau berkata, pembinaan sebahagian kemudahan itu terhenti 10 tahun disebabkan lima rumah dibina di atas rizab jalan.

Jelasnya, pembinaan semula jalan itu bagi mengurangk­an kesesakan lalu lintas dan membantu menyelesai­kan isu kemalangan yang kerap berlaku di situ.

“Banyak kes kemalangan serius yang menyebabka­n kematian berlaku di jalan ini, disebabkan keadaan jalan yang berlubang dan tidak sesuai digunakan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan laluan berkenaan di sini, semalam.

Izham berkata, pembinaan jalan itu diteruskan selepas isu lima rumah setinggan dibina di atas tapak jalan berkenaan diselesaik­an oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Jelasnya, empat daripada pemilik rumah setinggan berkenaan ditawarkan tapak rumah di Kampung Melayu Subang, dekat sini, manakala seorang lagi ditawarkan Rumah Selangorku bernilai RM42,000 di Taman Putra Prima, berdekatan.

Katanya, pihaknya turut meminta bantuan pihak Lembaga Zakat Selangor untuk memberi rumah transit kepada seorang daripada mereka sementara menunggu rumahnya siap dibina di atas tapak yang ditawarkan.

“Kami tidak sewenang-wenangnya meroboh mana-mana (rumah) dan akan sentiasa mencari alternatif seperti memberi tawaran rumah atau tanah kepada mereka (penduduk setinggan) sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

 ?? (Foto Zaharah Anum Mohd Tuah/bh) ?? Izham (dua dari kanan) meninjau keadaan laluan di Persiaran Atmosfera U5 di Shah Alam, semalam.
(Foto Zaharah Anum Mohd Tuah/bh) Izham (dua dari kanan) meninjau keadaan laluan di Persiaran Atmosfera U5 di Shah Alam, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia